ARTIKEL

Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr Ahmad Hata Rasit.

HAWANA 2024: UNIMAS mahu lahir siswazah berkualiti dalam dunia kewartawanan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersedia mengoptimumkan sumber sedia ada bagi menggalas tanggungjawab melahirkan siswazah berkualiti dalam dunia kewartawanan, khususnya di Sarawak.

Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr Ahmad Hata Rasit, berkata universiti itu mahu menjadi satu daripada penggerak komponen dalam menawarkan serta melahirkan lulusan yang terlatih dalam bidang komunikasi di negeri ini.

“UNIMAS sememangnya komited dalam mempersiapsiagakan siswazah untuk memiliki kemahiran yang kompeten bagi diimplementasikan dalam dunia pekerjaan sebenar kelak,” katanya ketika berucap pada Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa di sini hari ini.

Hadir pada program berkenaan ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Nur-ul Afida Kamaludin, dan Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj.

Dalam pada itu, Ahmad Hata berkata UNIMAS turut berbesar hati kerana menjadi antara destinasi yang disinggahi serta dimasukkan ke dalam atur cara sempena HAWANA dan lebih manis apabila dipilih sebagai destinasi pertama program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa.

Menurutnya, pengisian dalam HAWANA 2024 dilihat sebagai peluang kepada UNIMAS bagi memperkasakan hubungan kerjasama bersama pihak media dalam aspek kepakaran dan diteruskan dengan penyelidikan bersama.

Sementara itu, Nur-ul Afida berkata UNIMAS menjadi satu daripada enam universiti terpilih menerima sumbangan sebuah komputer berkeupayaan tinggi dan televisyen bersaiz besar bagi kegunaan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasinya.

“Program jelajah ini diadakan di enam zon, iaitu Sabah, Sarawak, Utara, Timur, Selatan serta Tengah. Beberapa universiti dipilih menjadi tuan rumah bagi siri jelajah ini dan diharapkan sumbangan peralatan ini dapat dimanfaatkan oleh pelajar semasa sesi pembelajaran mereka,” katanya.

Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa merupakan antara pengisian HAWANA 2024, dengan penglibatan 250 mahasiswa dari UNIMAS, Swinburne University of Technology Sarawak dan Kolej SEGi Sarawak.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi terpilih tentang dunia media melalui sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pengamal media, selain menanam minat bidang kewartawanan kepada pelajar dan mengaplikasikannya dalam dunia pekerjaan.

Pada program hari ini, sesi perkongsian ilmu dan pengalaman turut diadakan dengan membincangkan topik berkenaan semak fakta oleh Editor MyCheck Malaysia dan Unit ‘Data Journalism’ BERNAMA, Sakina Mohamed, dan ‘Mobile Journalism’ (MOJO) oleh Wartawan Kanan Meja Digital Media BERNAMA, Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman, selain sesi dialog bersama Menteri Komunikasi. – BERNAMA

BERITA LAIN

25 ekor lembu dikorban di Simunjan

SIMUNJAN : Sebanyak 25 ekor lembu dikorbankan sempena sambutan Hari Raya Korban Daerah Simunjan pada tahun ini. Dari jumlah tersebut, 19 ekor disumbangkan Ahli Dewan

BERITA TERBARU

Perdana Menteri China akan lawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri China Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dari Selasa hingga 20 Jun. Ini merupakan lawatan pertamanya ke