Hayati kandungan Al-Quran untuk dipraktik setiap hari

BINTULU: Al-Quran merupakan sumber rujukan bagi membangunkan tamadun manusia yang lengkap dengan ajaran dan khazanah ilmu pengetahuan bagi memenuhi keperluan ummah seiring dengan tuntutan syariat.

“Sehubungan itu amat penting bagi kita untuk mendalami, memahami dan menghayati setiap isi kandungan Al-Quran seterusnya diaplikasikan di dalam kehidupan kita seharian”.

Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Husaini Hakim berkata demikian pada Majlis Penangguhan Penyampaian Hadiah Sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu 1441H/2019M di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Plan Lot, di sini, malam tadi.

Menurut beliau, pendidikan yang berlandaskan Al-Quran dan sunnah harus dijadikan teras bagi melahirkan modal insan untuk memperkasa bangsa dan Negara dalam mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

“Justeru, penganjuran tilawah Al-Quran ini merupakan wadah terbaik bagi membangunkan generasi yang cemerlang dan unggul dalam pelbagai bidang menerusi pemahaman dan penghayatan terhadap kandungan kitab suci Al-Quran”, tambahnya.

TAHNIAH…Husaini menyampaikan hadiah kepada Kasti yang muncul johan qari Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu 1441H/2019M.

Beliau, dalam pada itu, menyeru institusi keagamaan memainkan peranan dalam usaha menyatupadukan masyarakat Islam di bahagian Bintulu, khasnya disamping mempergiatkan usaha dalam memastikan agar pertubuhan atau institusi keagamaan iyang terdapat di bahagian Bintulu dapat bekerjasama erat, terancang aktivitinya,tersusun organisasinya serta bergerak secara konsisten ke arah usaha meningkatkan lagi syiar Islam.

Dalam hal tersebut, Husaini berharap Jawatankuasa Tetap Agama Islam Bintulu (JTAIB) selaku jawatankuasa bertanggungjawab berkaitan perkembangan agama Islam dan Jabatan Agama Islam Sarawak(JAIS) Bintulu meninjau semula keberkesanan peranan dan pendekatan yang ada pada hari ini agar dapat direalisasikan dengan kehendak dan keperluan semasa.

Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu 1441H/2019M menyaksikan Kasti Haji Tihi dan Dayangku Nur Aishah Lee muncul johan qari dan qariah manakala naib johan kategori qari dan qariah disandang Abang Jasmani Abang Mazadi dan Sainah Husnan sementara Bahran Haji Tihi dan Buridah Rapie menyandang tempat ketiga.

Pegawai Agama Islam Bahagian Bintulu, Ustaz Azhar Hipni, Pegawai Daerah Bintulu Mohammad Dino Amid,
Temenggong Haji Rosli Kamarudin, Pemanca Haji Awang Merais Awang Ismail dan Ketua Kaum Kampung Sungai Plan Lot, Bujang Wahab hadir sama.

Husaini menyampaikan hadiah kepada Dayangku Nur Aishah yang muncul johan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu 1441H/2019M.

Suara Sarawak