Hayati semangat kebajikan

KUCHING: Warga Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) harus menghayati dan menjiwai semangat dan roh kebajikan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perkhidmatan yang disampaikan oleh JKMS dapat menyumbang kepada kesejahteraan golongan yang memerlukan.

Katanya, kerja kebajikan JKMS dapat menyentuh perasaan golongan yang memerlukan dan memberi impak kepada mereka.

“Sejajar dengan visi dan misi JKMS, warga JKMS mesti menjiwai roh kebajikan, dalam diri masing-masing mesti ada empati dan kasihan. “Sifat kesegeraan itu juga harus ada pada warga JKMS, jika dimaklumkan tentang sesuatu masalah, ia harus diselesaikan dalam waktu yang sama.

“Begitu juga dengan komunikasi dan kerja berpasukan juga penting ketika berjumpa dengan pelanggan kita,” ujarnya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JKMS di sini pada Rabu.

Tambah Fatimah, warga JKMS perlu mengamalkan budaya kerja inovasi dan bersifat kreatif dalam menyelesaikan masalah dan cabaran.

Jelasnya, masalah kekangan kakitangan dapat diselesaikan dengan jabatan mengamalkan budaya kerja inovasi dan kreatif, mengadakan perbincangan dan sumbang saran untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan mereka.

Dalam pada itu, Fatimah berkata, kementeriannya sedang dalam usaha untuk membangunkan sistem iSarawakCare untuk mendigital dan mengintegrasikan inisiatifinisiatif di bawah kementerian.

Beliau memberitahu, komponen iSarawakCare membolehkan integrasi antara agensi Kerajaan Sarawak, perniagaan dan komuniti mengenai pelbagai bantuan kebajikan dan perkhidmatan sosial.

“Platform ini menyediakan akses mudah kepada rakyat untuk berhubung dengan kita dan membuat permohonan bantuan yang diperlukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Melalui platform iSarawakCare, rakyat Sarawak akan dapat menyelesaikan transaksi dalam talian pada satu masa dan tempat yang paling sesuai dengan mereka,” katanya.

Jelas Fatimah lagi, ia meningkatkan kecekapan transaksi masyarakat, mengurangkan perjalanan dan waktu menunggu kerana waktu tindak balas adalah dalam waktu nyata, dan mengelakkan kos pengangkutan dan pos di luar terutama bagi mereka di luar bandar.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus dan Pemangku Pengarah JKMS, Guntor Rajaee turut hadir pada majlis tersebut.