KUCHING : Syarat kelayakan pendapatan isi rumah untuk permohonan Skim Bantuan Sewa Kediaman (SRAS) kini dinaikkan kepada RM3,500 sebulan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak, Mohamad Asman Ahmad, kenaikan itu diharap dapat membantu meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah terutamanya miskin bandar
“SRAS merupakan skim bantuan sewa sebanyak RM200 sebulan, selama 36 bulan (3 tahun) maksimum dan terbuka kepada penyewa yang bekerja di bandar Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
“Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM48 juta untuk skim ini yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 isi rumah layak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujarnya, mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat dan memuat turn borang permohonan SRAS secara percuma di laman web HDC http://hdc.sarawak.gov.my atau menghubungi terus HDC di talian 082-444381.
Maklumat berkenaan skim berkenaan katanya, juga telah dikemaskini di Facebook Kelab Kebajikan Sukan & Rekreasi HDC.
“ Kriteria permohonan SRAS adalah mesti Warganegara Malaysia, pemastautin tetap di Sarawak dan memiliki Mykad dengan status “k”.
“Penerima bantuan e-kasih juga dialu-alukan memohon. Pemohon hendaklah berumur 21 tahun ke atas dan berkahwin, termasuk bapa atau ibu tunggal, sekurang-kurang mempunyai seorang anak tinggal bersamanya.
“Keutamaan juga akan diberi kepada pemohon Orang Kurang Upaya (OKU),” jelasnya.
Mohamad Asman menambah, permohonan yang menepati kriteria hendaklah diisi dengan lengkap, dihantar ke pejabat HDC di Kuching, SIbu, Bintulu atau Miri.