Hebatnya Arif Mirza!, Kanak-kanak tiga tahun hafal 100 bendera negara asing

PADA tiga tahun, siapa sangka kanak-kanak ini kenal lebih 100 bendera negara asing. Kita yang dewasa ini lagi sukar untuk mengingati semua jenis bendera di dalam negara apatah lagi bendera negara luar. Tetapi tidak bagi Arif Mirza Mazlan, berusia tiga tahun – dia mampu hafal bendera dari 100 negara di dunia.
Hebat bukan?
Kanak-kanak cilik ini mula menunjukkan minatnya terhadap bendera selepas melihat bendera yang terpacak di sekitar rumahnya.
Menurut ibunya Nor Atikah Muhamad Hasbulah, segala-galanya bermula apabila Arif mula bertanya mengenai nama bendera yang dilihatnya.
Menyedari potensi anaknya, Atikah mula menunjukkan pelbagai jenis bendera menggunakan aplikasi YouTube.
“Arif akan bertanya setiap jenis bendera dan terus menghafal. Pada awalnya, saya kira Arif hanya menghafal bendera negeri di dalam Malaysia tetapi bendera dari luar negara pun Arif mampu hafal,”katanya.

BARANG permainan Arif berbeza dengan kanak-kanak seusianya.

Ujar Atikah, dia sendiri menghadapi kesukaran untuk mengajar apabila Arif mula bertanya terlalu banyak jenis bendera dari luar negara yang dia sendiri tidak kenal.
“Arif belum pandai membaca, jadi apa yang saya boleh buat, saya cetak sendiri bendera negara di dunia dengan namanya sekali.
“Jadi mudah saya mengembangkan minat Arif untuk menghafal bendera,”ujarnya.
Selain minatnya terhadap bendera, Arif juga berjinak-jinak untuk mengenal peta dunia.
“Arif mula menunjukkan minat belajar apabila melihat peta semasa sesi ramalan cuaca di televisyen.
ARIF Mirza Mazlan bersama-sama ibunya, Nor Atikah Muhamad Hasbulah.

“Saya mulanya terkejut apabila Arif kenal kedudukan negeri-negeri di Malaysia.
Malah boleh menyanyi lagu kebesaran negeri Sarawak termasuk Kedah.
“Sejak itu, saya mencetak peta Malaysia dan peta dunia sebagai mainan baharu untuk Arif,” kata Atikah.
Arif obsesi dengan bendera terutamanya bendera Malaysia sehingga hampir ke mana-mana pergi dia akan membawa bendera itu bersama-samanya.
Jika anak lain merengek meminta gajet, tidak bagi Arif kerana dia lebih suka membawa gambar bendera yang dicetak ibunya ketika keluar berjalan.
Menurut Atikah, dia tidak memaksa anaknya untuk berbuat demikian melainkan Arif sendiri yang bertanya.
“Ada yang beranggapan saya seperti menidakkan zaman kanak-kanak anak saya apabila saya memberinya gambar bendera berbanding gajet.
“Saya tidak pernah memaksa anak saya belajar melainkan hanya menjawab apa yang ditanya.
“Lagi pula Arif sendiri menganggap bendera ini sebagai permainan yang digemarinya,” katanya.
Sebagai guru tadika, Atikah beranggapan potensi anaknya ini harus disokong dan diasah.
Sebagai ibu bapa, penting untuk mereka melihat potensi anak supaya boleh diasah dan dikembangkan.
Kita doa semoga dewasanya Arif kelak, dia menjadi pakar dan mahir dalam bidang yang diminatinya serta menjadi kebanggaan negara.

Suara Sarawak