Heret ke mahkamah

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bersetuju jika Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan terhadap pelancong yang menetap melebihi tempoh.

Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia sepatutnya lebih tegas terhadap pelancong yang menetap lebih tempoh.

Jelas beliau, jumlah pelancong yang masuk dan tidak pulang mencecah ratusan ribu dan ia memberikan kesan tidak baik kepada negara.

Beliau turut berkata, Kerajaan Persekutuan mesti mengambil tindakan tegas dengan mengheret mereka ke mahkamah.

“Sekiranya tiada tindakan tegas diambil, dikhuatiri keadaan ini akan melarat kepada lebih buruk.

“Kami bertuah kerana Sarawak mempunyai kuasa imigresen dan situasi ini tidak teruk berlaku di Sarawak,” katanya kepada pada sidang media persiapan Sukma 2020, Johor di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, semalam.

Beliau menambah, Sarawak tidak mempunyai masalah pendatang asing tanpa izin kerana dapat mengawal perkara tersebut.

Terdahulu, KDN memandang berat isu jumlah yang tinggi melibatkan pelancong dari China dan India yang tinggal melebihi tempoh di negara ini, seperti dinyatakan dalam laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri
2, semalam.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sudah menyerahkan perkara berkenaan kepada Jabatan Imigresen untuk diteliti.

Laporan audit tersebut menyebut, tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 hingga tahun lepas.

Menurut laporan itu, berdasar kan data ketibaan sepanjang tempoh berkenaan, daripada 79,799 warga China, seramai 76,258 tidak mempunyai rekod tarikh keluar dari negara ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, angka warga China itu kurang tepat kerana mengikut rekod pihaknya, jumlah sebenar pelancong China yang masih belum keluar hanya 18,341
orang.