ARTIKEL

Foto: KENNY TENG KHOON HOCK | BERNAMA

“Hero Stone” dilancar untuk mengingati mangsa korban landasan kereta api maut yang dilupakan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KANCHANABURI: Selepas bertahun-tahun berusaha tanpa jemu, sebuah tugu peringatan untuk menghormati nyawa insan yang terkorban membabitkan tawanan perang (POW) dan buruh paksa Asia semasa pembinaan “landasan kereta api maut” yang terkenal, telah dirasmikan pada Rabu di sini.

Tugu peringatan atau Hero Stone bukan sahaja melambangkan penghormatan kepada mereka yang terkorban tetapi juga menawarkan penyembuhan emosi bagi keluarga mangsa yang telah menanggung kehilangan orang tersayang selama beberapa generasi.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata impiannya tercapai dengan pemasangan Hero Stone sebagai penghormatan kepada mereka yang terkorban.

Sejak 2018, beliau berkata Dr Silva Kumar dan pasukannya yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan India di Bangkok (MIB) telah bekerja keras untuk memastikan nasib buruh paksa Asia yang telah lama dilupakan, yang mengalami keadaan menyeksakan semasa membina landasan kereta api di bawah pendudukan Jepun semasa Perang Dunia II, disedari kewujudannya dengan pemasangan batu peringatan mereka sendiri.

“Projek ini bertujuan untuk memberi kelegaan kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam sisi gelap sejarah ini.

Sumbangan dan pengorbanan mereka (buruh paksa Asia) tidak boleh dilupakan,” katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.

Menurut Jojie penderitaan besar yang dialami oleh POW dan buruh paksa Asia yang juga dikenali sebagai “Romusha” dalam bahasa Jepun, semasa pembinaan Rel Thailand-Burma sepanjang 415 kilometer itu, kekal tidak dilihat secara meluas.

Tiada siapa yang tahu jumlah sebenar korban semasa pembinaan landasan kereta api maut itu tetapi anggaran menunjukkan bahawa kira-kira 100,000 orang terbunuh termasuk 12,000 POW Bersekutu dan puluhan ribu Romusha, yang terpaksa bekerja dalam keadaan azab yang dahsyat.

Beliau berkata Hero Stone mempunyai ketinggian 2.5 meter dengan lebar 1.5m dan berat hampir tiga tan dikuari di Namakkal dan dibentuk di Madurai, India.

Terdahulu, sempena Hari Pekerja, Jojie dan Gabenor wilayah Kanchanaburi, Lt Thotsapon Chaikomin melancarkan Hero Stone di Chedi Niranam dalam Wat Thaworn Wararam di sini.

Sementara itu, pesara pembantu makmal sekolah, K. Muniappan, 80, dari Kuala Lumpur berkata bapanya dibawa pergi menjadi buruh paksa pada awal 1940-an ketika ibunya sedang hamil.

Beliau berkata bapanya, Muniapan, terpaksa bekerja di landasan maut itu yang terkenal antara Thailand dan Myanmar pada usia sekitar 16 tahun.

“Ibu saya yang ketika itu hamil lima bulan, mengandungkan saya, (mendapat tahu) apabila pihak berkuasa menyebarkan berita pemergian bapa saya pada awal 1940-an.

Dan saya membesar tanpa mengetahui rupa bapa saya (dan) kami tidak mempunyai gambar mendiang,” katanya ketika ditemui di sini.

Muniappan yang dilihat menitiskan air mata berkata beliau diberi nama sempena nama bapanya, Muniappan bagi mengenang mendiang dan beliau benar-benar kesal kerana bapanya dibawa pergi secara paksa dari Ladang Selama di Kedah ketika itu.

Bagaimanapun, Muniappan yang kini tinggal bersama anak perempuannya di Kuala Lumpur, melahirkan rasa gembira kerana mereka yang terkorban semasa pembinaan Rel Thailand-Burma itu kini mempunyai batu peringatan mereka sendiri.

“Selepas bertahun-tahun, saya dengan bangganya dapat menjelaskan kepada cucu-cucu saya bahawa datuknya yang hebat adalah sebahagian daripada sejarah dalam membina landasan kereta api maut yang terkenal, yang kini telah menjadi tarikan pelancong di sini,” katanya. — BERNAMA

BERITA LAIN

Ireland secara rasmi iktiraf Negara Palestin

DUBLIN: Ireland secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin dan menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk mendengar suara masyarakat antarabangsa dan menghentikan malapetaka kemanusiaan di Semenanjung

Jepun mahu tubuhkan organisasi siasat kejadian UFO

TOKYO: Penggubal undang-undang Jepun pada Selasa bertemu untuk mewujudkan kumpulan dwipartisan yang akan meminta kerajaan menubuhkan organisasi untuk menyiasat fenomena udara tidak dikenal pasti atau

BERITA TERBARU

Penyulut SPM meri pengaga ngagai semua

KUCHING: Bulih pemutus peresa nyulut ba Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ukai penyulut siku orang aja tang nya penyulut semua raban. Nembiak Sekula Sekondari (SMK)