Trending

Hias rumah kecil

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

RUMAH kecil tetapi “comel” bukanlah perkara asing.

Disebabkan peningkatan kos sara hidup, ramai yang terpaksa menyewa atau membeli unit kediaman kos rendah seperti studio, pangsapuri, Program Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah mikro.

Ada banyak cara untuk kita menghias rumah kecil tanpa perlu mengeluarkan belanja yang banyak.

Jadikan rumah kecil sedap mata memandang setiap kali pulang selepas penat bekerja, rumah tersusun cantik menjadikan hati kita sentiasa tenang.

PILIHAN WARNA

Perkara paling kita mahu elak apabila tinggal di rumah kecil ialah rasa sempit, sesak dan tertutup.

Jadi, perkara yang kita utamakan sebelum mula menghias ialah menampakkan rumah seolah-olah luas.

Caranya dengan menggunakan warna yang lembut dan ringan seperti putih, kelabu pucat dan biru muda pada ruang utama seperti dapur dan ruang tamu.

KONSEP PANTULAN

Selain bermain dengan warna untuk menjadikan ruangan lebih cerah dan luas, anda juga boleh menggunakan konsep pantulan.

Gunakan pelbagai saiz dan bentuk cermin kerana ia membantu memantulkan cahaya di dalam ruangan tersebut.

Jika anda kurang gemar dengan hiasan banyak cermin, anda boleh gunakan hanya satu cermin besar sebagai hiasan.

Satu lagi cara membuat ruang rumah nampak lebih besar adalah dengan menggunakan permukaan berkilat pada kerja akhir kabinet. 

Permukaan berkilat turut memantulkan cahaya dan secara automatik menjadikan dapur anda kelihatan luas.

GUNA PEMBAHAGI RUANG

Jika ruang tamu dan dapur rumah ada terlalu dekat, guna pembahagi ruang untuk elak rumah kelihatan seperti tinggal di dalam kotak.

Inilah peluang anda menggunakan perabot cantik dan pada masa yang sama memberi ilusi zon berlainan pada kediaman anda.

Pilih pembahagi ruang jenis kaca kerana ia tidak menghalang laluan cahaya dan pada masa yang sama kelihatan lebih mewah.

Rak buku yang tinggi juga boleh menjadi pembahagi ruang atau hanya menggunakan langsir.

SEDIAKAN RUANG SIMPANAN

Ruang simpanan semestinya elemen terpenting di dalam sesebuah kediaman, lebihlebih lagi rumah kecil.

Di dapur, bilik air ataupun bilik tidur kena pastikan ruang simpanan diutamakan.

Contohnya, letakkan ruang simpanan tambahan di atas kabinet dapur.

Di situ anda boleh letak barang dekorasi berwarna ceria yang praktikal seperti set mangkuk pelbagai saiz.

PILIH PERABOT PELBAGAI FUNGSI

Guna perabot yang mempunyai lebih daripada satu fungsi.

Contohnya, katil sofa sangat sesuai sebagai deko studio kerana kebolehannya untuk dilipat selepas penggunaan.

Gunakan sebagai sofa pada waktu siang dan katil untuk tidur.

Anda tidak perlu membazir ruang untuk katil yang besar.

DAPUR KEMAS

Tip ini sangat berguna untuk menyusun atur kawasan dapur yang bersaiz kecil kerana bukan senang untuk meletakkan pelbagai bahan yang mungkin digunakan pada bila-bila masa.

Ambil kira saiz lebar, tinggi dan ruang penggunaan yang diperlukan untuk peralatan tertentu.

Sebagai alternatif, anda boleh memilih saiz peralatan yang lebih kecil untuk menjimatkan ruang ataupun melabur pada satu peralatan yang banyak fungsi.

BILIK TIDUR KECIL

Apabila berbicara tentang bilik tidur, harus dipastikan perabot dan barangan sesuai mengikut saiz bilik.

Contohnya, mungkin lebih baik untuk anda gantikan katil saiz King kepada saiz Queen atau Double.

Hanya dengan perbezaan kecil saiz, anda boleh menjimatkan ruang lantai untuk kegunaan perabot lain.

BILIK AIR

Mulakan hias bilik air kecil anda dengan memilih warna dinding mengikut cita rasa anda.

Konsep warna yang cerah dan bertemakan retro atau klasik boleh memberi sentuhan yang berkelas tinggi dan mewah.

Manakala, pemilihan warna gelap dan berani seperti hitam dan biru gelap pula sesuai untuk bilik air yang mempunyai cahaya semula jadi dari tingkap.

Kemudian, tambahkan rasa nyaman dengan meletakkan tumbuhan tiruan atau pokok hiasan yang bersesuaian.

Warna kehijauan itu boleh mengelak bilik air daripada nampak kusam. 

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Lenggok zapin Melayu

ZAPIN berasal dari tradisi Tarian Zafana Orang Arab dari Hadramaut,

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru