SARIKEI: Berjalan masuk ke setiap kelas SMK Julau pasti semangat mengajar dan belajar dalam kalangan pelajar dan guru membuak-buak apabila melihat kelas begitu ceria dengan hiasan kreatif.
Idea mewujudkan kelas ceria ini timbul daripada salah seorang guru sekolah berkenaan, Hamzah Mohd Azizan, 37.
Guru ini mahu membantu pelajar dengan menceriakan suasana kelas melalui usaha kreativiti serta peruntukannya sendiri.
“Saya sentiasa tanamkan moto iaitu kelas merupakan rumah kedua buat pelajar.
Memang lumrah manusia kalau keadaan sekitar cantik dan ceria, ia secara tidak langsung memberi mood positif kepada pelajar mahupun guru.
“Saya juga ingin wujudkan suasana yang berbeza apabila masuk ke dalam kelas walaupun bangunan dan kelas yang sudah berusia 50 tahun,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Mengimbau kembali sejarah sekolah berkenaan ujarnya, SMK Julau mula beroperasi tahun 1966 sambil menumpang di Sekolah Kebangsaan St Aphonsus.
Setelah itu, berpindah ke bangunan baharu pada 1970 yang terletak di hilir Sungai Julau lebih kurang 0.5 kilometer dari tapak lamanya sehinggalah ke hari ini.
Walaupun berusia lebih 50 tahun katanya, bangunan yang lama bukan alasan untuk tidak tampil kreatif dan bersemangat untuk menghias kelas.
Guru ini percaya biarpun sekolah ini sudah berusia, jika kelas dihias menarik, maka auranya lebih muda dan segar di mata pelajar.
Baru-baru ini Hamzah juga dihubungi oleh Didik Tv di saluran NTV7 untuk berkongsi kisahnya di seluruh Malaysia tentang bagaimana beliau menceriakan kelasnya dengan harapan membantu menaikkan semangat pelajar.
Mencerita lanjut, katanya, pihak NTV7 membuat tawaran di sebuah laman Facebook TeacherCollection (TC) pada 1 April lalu untuk memberi peluang kepada guru-guru berkongsi dekorasi hiasan kelas masingmasing.
“Pada waktu itu, saya mengambil peluang berkongsi gambar dan video kelas saya kepada NTV7 dan tidak sangka mereka memilih sekolah saya untuk dikongsikan dalam Buletin Didik Tv.
“Rasanya banyak lagi kelas dan sekolah lain lagi canggih perhiasannya. Mungkin kerana bangunan dan SMK Julau ini sudah berusia 50 tahun, ia menjadi satu tarikan kepada mereka,” katanya yang mengajar subjek Perniagaan dan Reka Bentuk dan Teknologi di sekolah tersebut.
Hamzah menambah, dalam usaha tersebut beliau berkorban modalnya sendiri bermula pada 2016 hingga 2020 dan melibatkan pelajar sama dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.
“Respons pelajar sangat positif dan kebiasaannya proses keceriaan ini dilakukan sebelum sesi persekolahan bermula.
“Pelajar memang banyak membantu setiap kali proses keceriaan ini dilakukan, tidak kira mereka pelajar harian atau asrama, sama-sama membantu.
“Dianggarkan kos keseluruhan untuk menceriakan kelas-kelas ini ialah sekitar RM2,000,” katanya lagi.
Mengenai tema hiasan kelas pula, Hamzah berkata, beliau tampil dengan tema umum kerana ia dapat memudahkan kerjanya dengan hanya mengikut warna yang dipilih pada tahun ini.
“Tahun itu saya tetapkan warna tertentu dan saya akan hiaskan kelas mengikut warna tersebut.
Kerja menjadi semakin mudah dengan sokongan pihak sekolah terutamanya pihak pengurusan,” jelasnya.
Kunci utama bagi menjayakan usaha tersebut jelasnya ialah perlu ada minat dan niat yang jitu, kerana idea sedemikian sebenarnya sangat mudah dilakukan.
“Minat mesti ada. Niat juga haruslah ikhlas kerana menghias kelas bukan untuk menang atau menunjuk-nunjuk, tetapi untuk memberi keselesaan kepada pelajar supaya mereka seronok belajar di dalam kelas dengan suasana yang kondusif.
“Akan tetapi, saya juga sentiasa menekankan isu menjaga kebersihan.
Kalau kelas yang cantik sahaja ia tidak akan bermakna jika ia kotor.
Anak jati Kampung Bintangor Meradong ini turut berkongsi kepada Suara Sarawak pelbagai cabaran perlu dihadapi dalam menghias kelas.
“Antaranya melibatkan pemilihan warna yang sesuai dengan hiasan kelas.
Ini kerana kadangkala barang yang diperlukan tidak dijual.
“Malah saya juga selalu ingatkan pelajar untuk bersama-sama menjaga kelas supaya sentiasa kemas kerana pelajar ini kadang-kadang lupa.
“Memandangkan kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu dan telah lama bercuti, rasanya tidak berbaloi untuk kita menghabiskan wang untuk hiasan kelas tapi tidak digunakan pada masa yang sama,” katanya lagi.
Guru mesra dipanggil oleh pelajar dengan nama Hamuza, Cikgu dan Bro turut percaya lebih ramai lagi guru yang berbakat dapat tampil dengan idea yang menarik.
“Bahkan pasti ada kalangan guru ini pandai menjahit dan mencipta sendiri barang-barang hiasan mereka.
“Saya pula, hanya tahu membeli dan menghias kerana menjahit dan mereka itu bukanlah bidang saya,” katanya.
Dalam kesempatan tersebut beliau turut menasihatkan kepada pendidik lain bahawa hiasan kelas bukanlah satu faktor utama.
“Hiasan kelas hanya sekadar pemberi semangat kepada pelajar dan selaku guru kelas, kita haruslah menunjukan prinsip kepimpinan melalui teladan.
“Jangan terlalu memikirkan kos kerana wang sentiasa ada setiap bulan “Perasaan selesa dan kegembiraan pelajar yang berkekalan bukan datang selalu.
Justeru, usahalah yang termampu, tanamkan minat dan ikhlaskan niat untuk melakukan ibadah untuk pelajar dan sekolah demi kerjaya kita.
“Insya-Allah, Tuhan akan beri rezeki dalam pelbagai bentuk kepada kita,” jelasnya.
Lebih 11 tahun dalam dunia pendidik katanya, sebagai guru mereka perlu mencari satu titik kekuatan dalam diri sebagai guru kerana ia dapat memberi kepercayaan dalam diri mereka.
“Kalau kita ditakdirkan menjadi guru, bermaksud ada sesuatu yang ada pada diri kita yang sangat istimewa yang boleh mendidik pelajar berbanding orang lain.
“Guru juga manusia. Ada masa jatuh ada masa bangun. Tipulah kalau tidak ada rasa putus asa.
Pelajarlah yang menjadi kekuatan hati dan roh seorang guru untuk terus bergerak dan mendidik,” ujarnya.