ARTIKEL

Hidup mati harimau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MASIH adakah sinar di hujung terowong buat Harimau Malaya untuk melakukan kejutan setelah dibelasah Jordan 4-0 dalam aksi pertama Kumpulan E Piala Asia 2023 awal pagi Selasa lalu (waktu Malaysia).

Pada waktu tempatan di Qatar, perlawanan tersebut berlangsung, jam 8.30 malam Isnin, ekoran negara teluk itu lambat lima jam, berbanding Malaysia.

Kekalahan besar itu mengejutkan kebanyakan pihak ketika harapan tinggi disandarkan terhadap pasukan yang semakin meningkat ini.

Malah pemain Malaysia sendiri turut tergamam, apabila bolos empat kali.

Di atas kertas, tewas 4-0 dalam aksi pertama dilihat sebagai misi yang sangat sukar untuk mara ke fasa kalah mati. Malaysia perlu meraih sekurang-kurangnya tiga atau empat mata daripada dua perlawanan selepas ini.

Ia bermakna anak-anak buah Kim Pan Gon mesti mengatasi Bahrain Sabtu ini, satu-satunya peluang realistik untuk meraih mata.

Ia kerana peluang untuk mengalahkan Korea Selatan pada aksi terakhir 25 Januari kelihatan hampir mustahil. Seri ada kemungkinan sekiranya Korea menurunkan ‘pasukan B’.

Jika Malaysia berjaya menundukkan Bahrain, maka peluang untuk menduduki tangga ketiga adalah cerah, dan jika diiringi faktor tuah, Malaysia berada dalam kelompok empat pasukan terbaik di tangga ketiga, sekali gus meraih tiket ke pusingan kedua.

Namun ia juga bergantung kepada situasi dan keadaan pasukan dari kumpulan lain, dari segi mata, jaringan dan bolos.

Oleh itu, untuk mencapai hasrat ini, kekalahan besar perlu dielakkan, namun ia sudan pun menimpa pasukan negara kita. Timbul pelbagai persoalan, di mana silapnya?

Adakah Harimau Malaya akan sembuh daripada ‘luka besar’. Berdasarkan statistik perlawanan, Malaysia menguasai permainan 53 peratus, berbanding Jordan 47 peratus.

Namun Jordan lebih tajam, dengan 14 cubaan, dengan lapan serangan bahaya, serta empat jaringan, berbanding Malaysia, dengan lapan cubaan dan hanya tiga cubaan bahaya.

Bekas penyerang kebangsaan yang juga bekas jurulatih Malaysia, Dollah Salleh membuat kesimpulan bahawa, sikap terlalu ghairah menyerang membawa padah.

Katanya, pemain bagaikan tidak sabar mencari gol, sehingga menimbulkan kecuaian di bahagian pertahanan.

Menurutnya ia juga berpunca daripada perasaan gementar pemain, pertama kali beraksi di peringkat tinggi, selepas 1980 (secara merit).

Namun pengendali Malaysia, Kim Pan Gon mempunyai alasan tersendiri dan mempertahan taktikalnya, bahawa mereka tidak akan hanya bertahan, sebaliknya lebih kerap menyerang, kerana ia adalah falsafah yang telah diterapkan ke dalam diri pemain sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, aksi lebih banyak bertahan tidak akan membantu masa depan bola sepak Malaysia.

Katanya, inisiatif menyerang harus dilakukan, tanpa mengira status pasukan lawan. Katanya, mentaliti menyerang harus menebal dalam diri pemain.

Yang pasti, Jordan yang berada di ranking ke-87 dunia mempunyai kelas tersendiri, berbanding Malaysia di ranking ke-130.

Mereka bukan sahaja memberi tekanan tinggi pada awal saingan, tetapi juga begitu tangkas menyerang.

Mereka juga mempunyai kelebihan fizikal yang sukar ditangani pemain Malaysia.

Pemain sayap, Faisal Halim yang cuma berketinggian 5 kaki 1 inci, terkialkial mencari ruang, dan sering hilang arah dan kalah ketika perebutan.

Arif Aiman pula beberapa kali menunjukkan taringnya, namun tidak begitu menjadi, walaupun ada kalanya mengundang bahaya terhadap kubu Jordan.

Pemain kacukan Stuart Wilkin membuktikan keupayaannya, apabila berjaya memberikan impak, namun belum cukup.

Walaupun Malaysia mempunyai beberapa peluang untuk merapatkan jurang pada babak kedua, tetapi gagal menterjemahkannya sebagai jaringan, termasuk dua rembatan padu Safawi Rashid dan Paulo Josue.

Ia juga mengambil kira faktor pengalaman, setelah begitu lama tidak beraksi di peringkat tertinggi, jika dibandingkan dengan Jordan yang layak beberapa kali dalam kejohanan elit.

Malah Jordan mara ke suku akhir Piala Asia 2004 dan 2011.

Mereka juga ke pusingan kedua pada 2019.

Malah ia juga kerana faktor padang, yang menyaksikan pergerakan bola lebih pantas, kerana dipengaruhi rumput khas di stadium tersebut yang diimport dari Amerika Syarikat.

Seperti yang dikatakan oleh penyerang naturalisasi Malaysia, Paulo Josue.

“Mujurlah kami datang awal ke Qatar… kalau tidak sangat sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan bola yang bergerak pantas.”

Di samping itu, faktor lain ialah empat pemain Jordan merupakan tonggak pasukan dalam Liga Super Malaysia, iaitu Yazan Al Arab, Fadi Awad, Noor Al Rawabdeh dan Mahmoud Al Mardi.

Yazan dan Rawabdeh merupakan tonggak Selangor, manakala Mahmoud penyerang utama Kedah dan Fadi teraju skuad PDRM. Namun Yazan ditamatkan kontrak selepas menyepak pengadil.

Keempat-empat pemain ini cukup masak, tentang selok-belok bola sepak Malaysia, yang berada di dalam ‘kocek’ masing-masing.

Hasilnya, Mahmoud menjaringkan dua gol ketika membenam Malaysia 4-0 Isnin lalu.

Malah mereka sangat mengenali pemain tonggak Malaysia, seperti Arif Aiman, Faisal Halim, Corbin Ong, Syihan Hazmi dan lain-lain.

Jadi ini memberi kelebihan ketara buat Jordan.

Mereka juga mempunyai tonggak utama kelab Montpellier yang beraksi dalam Ligue 1 Perancis, iaitu Mousa Al-Tamari, yang turut menyumbat dua gol.

Realitinya, masih ada sisa harapan buat Malaysia untuk melakukan kejutan.

Perlawanan menentang Bahrain Sabtu ini, adalah aksi ‘hidup mati’ perjuangan Harimau Malaya.

Andainya gagal ia bukanlah pengakhiran, kerana mana-mana pasukan dari Asia Tenggara, untuk layak sejauh ini (Piala Asia) bukanlah mudah.

Sekurang-kurangnya, misi Pan Gon dan hasrat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melihat peningkatan sudah pun tercapai.

Sebagai pasukan tiga tercorot dari segi ranking ia cukup perit untuk bersaing di peringkat Asia yang turut menghimpunkan empat nama besar, Jepun, Korea Selatan, Iran dan Australia yang setaraf pasukan dari Eropah.

Rakan serumpun Asia Tenggara, Thailand nampaknya paling menyerlah setakat ini, dengan kejayaan menundukkan Kyrgyzstan 2-0, sekali gus membuka peluang cerah untuk ke pusingan kedua.

Vietnam dan Indonesia turut menunjukkan belang ketika menentang pasukan yang lebih tinggi rankingnya.

Vietnam menyebabkan Jepun (ranking 17) bermandi peluh walaupun kalah 4-2, malah Vietnam turut mendahului 2-1 pada suatu ketika.

Begitu juga Indonesia yang menyebabkan Iraq (ranking 63) berhempas-pulas walaupun kalah 3-1.

Indonesia (ranking 146) dibarisi majoriti pemain Bawah 23 Tahun, pasukan termuda dalam kempen kali ini dengan purata usia, 22 tahun.

Pemerhati Piala Asia 2023 meramalkan Vietnam dan Thailand bakal mewakili Asia Tenggara untuk ke pusingan kedua.

LAIN-LAIN BERITA

Bahasa itu senjata, kata adalah peluru

LEGENDA perang dunia, Napoleon Bonarparte yang juga Maharaja Perancis dan Raja Itali sentiasa berpegang kepada kata-kata keramatnya; “Mata pena lebih tajam daripada 1,000 mata pedang.”

Tidak ada duit ketika jadi ahli parlimen

MENJADI ahli parlimen pada usia 26 tahun, adalah sesuatu yang mengejutkan bagi dirinya. Sejak di universiti memang beliau memasang impian untuk memasuki politik, namun beliau

Cara indah hargai orang

KETIKA lepak santai-santai sambil minum teh panas di sebuah kedai makan, perbualan kami lepasan sekolah menengah di Kuching rancak tentang kejadian banjir kilat melanda Kuching,

Sarawak dahului inisiatif tenaga hijau

DALAM usaha untuk mengejar kelestarian alam dan kemajuan ekonomi, inisiatif tenaga hijau telah menjadi fokus utama bagi banyak negara. Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk

Impak medsos dalam Pilpres 2024

PASANGAN Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka terus unggul dalam kiraan sebenar (real count) bagi keputusan Pemilihan Presiden (Pilpres) 2024 oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU). Menurut media

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

BERITA TERBARU

Premis makanan dipantau supaya sentiasa bersih, selamat

SIMANGGANG: Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman mempergiatkan pemantauan terhadap premis makanan sekitar Simanggang bagi memastikan pengusaha mengutamakan aspek kebersihan terbaik.

128 rumah di Tasik Biru dapat bekalan air bersih

BAU: Sebanyak empat kampung melibatkan 128 buah rumah di konstituensi Tasik Biru bakal menikmati bekalan air bersih pada pertengahan tahun ini. Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai