Hidupan liar cabaran SEB

KUCHING: Sejak Januari lalu, Wilayah Tengah Sarawak mencatatkan 19 kes kehadiran hidupan liar pada kabel elektrik, sekali gus menjejaskan capaian elektrik di kawasan luar bandar.

Naib Presiden Peruncitan Sarawak Energy Berhad (SEB) Yusri Safri berkata, ia merupakan cabaran yang dihadapi pihaknya untuk terus memastikan bekalan elektrik ke luar bandar kawasan hutan, ladang dan sebagainya.

Menurutnya, pengguna di kawasan Mukah, Dalat, Matu, Bintangor dan Sarikei sering mengalami gangguan akibat masalah ini.

Pada 30 Mac yang lalu katanya, pelanggan di Dalat dan sebahagian Judan mengalami gangguan elektrik sekitar jam 12.48 tengah hari.

“Pasukan teknikal mendapati punca masalah itu adalah seekor monyet mati akibat renjatan elektrik.

Bangkai monyet itu diremui di salah satu tiang elektrik.

Bekalan elektrik pulih sepenuhnya pada jam 1.34 petang,” katanya kepada Suara Sarawak.

Selain itu jelasnya lagi, sekitar jam 6 petang pada 27 Mac, sekumpulan monyet didapati bertenggk di kabel voltan tinggi di Matu-Daro, yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik ke kampung-kampung di daerah itu.

Sekitar 1,100 pengguna di Kampung Tian, Kampung Berjaya, Kampung Sekaan Kecil, Kampung Sekaan Besar, Matu Bazaar, Kampung Sok dan Kampung Jemoreng terjejas, namun bekalan elektrik pulih sepenuhnya pada jam 6.18 petang, ujarnya.

“Gangguan hidupan liar merupakan cabaran pasukan operasi kami ketika menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di luar bandar dan pedalaman“Walaupun kami dapat mengerahkan pasukan teknikal untuk memulihkan bekalan dengan segera, namun insiden kematian hidupan liar ini tidak dapat dielakkan.

“Kami sedang mencari kaedah untuk mengurangkan masalah ini termasuk mengubah daripada konduktor terbuka kepada konduktor tertutup, yang akan dilakukan secara berperingkat.

“Ini akan mengurangkan insiden gangguan berkaitan haiwan dan merupakan pendekatan berterusan pengurusan hidupan liar,” jelasnya.

Mengulas lanjut Yusri berkata, sebelum laluan elektrik itu diaktifkan semula, pasukan teknikal akan membuat rondaan di saluran terjejas bagi memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi, merangkumi kemungkinan ada tiang elektrik terjatuh.

“Kami bertanggungjawab memastikan keselamatan semua individu yang berada berdekatan kemudahan elektrik.

Kami memandang serius perkara ini.

“Bagi laluan yang sukar, ia mungkin memerlukan sedikit masa untuk melakukan rondaan terutama apabila berlaku pada waktu malam, di bawah cuaca yang melampau atau kawasan yang mencabar,” katanya.

Beliau turut berharap pelanggan dapat memahami cabaran yang mereka hadapi.

“Walaupun begitu, kami tetap memberikan komitmen terbaik bagi meminimumkan tempoh gangguan yang berlaku,” tambahnya.

Bahagian Operasi SEB katanya, sentiasa memastikan infrastruktur dan kelengkapan elektrik dalam keadaan baik menerusi kerja-kerja penyelenggaraan berjadual (tepat pada masanya) bagi memastikan bekalan elektrik berterusan.