
KUCHING: Kajian pelayaran sepanjang Sungai Sarawak Kanan merentasi tebingan Sungai Kuching, hingga ke pekan Siniawan dijangka siap pada Jun depan.
ADUN Serembu Miro Simuh berkata, kajian yang bermula dua minggu lalu itu bertujuan untuk mengembalikan semula minat orang ramai terhadap pengangkutan sungai serta mengenal pasti peluang pembangunan ekonominya.
“Kajian perintis tersebut merupakan satu permulaan yang baik untuk Sarawak secara keseluruhannya kerana difahamkan belum ada kajian pelayaran di sepanjang sungai di negeri ini dilakukan sebelum ini.
“Dalam masa yang sama, diharap kajian ini dapat dijadikan rujukan yang baik kepada negeri ini. Sekali gus membolehkan pihak kerajaan memberikan peruntukan yang lebih banyak untuk kajian mengenai pelayaran sungai Sarawak, nilai ekonomi dan masyarakat dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bengkel Pengecaman Bahaya dan Laporan Pembatalan Impak di sini, hari ini.
Tambahnya, kajian yang dilaksanakan oleh perunding tempatan AJA Prima Sdn. Bhd, yang bermula kira-kira dua minggu lalu itu juga melihat kepada nilai-nilai sungai terutamanya dari segi ekonomi, budaya dan kemasyarakatan.
Semasa era pemerintahan Brooke (1841-1941), Sungai Sarawak merupakan pengangkutan utama antara bandar Kuching ke Batu Kawah dan Sungai Sarawak Kanan. Ia digunakan untuk mengangkut barangan dan penumpang ke Siniawan, Musi, dan Tondong malah sehingga ke bandar perlombongan emas yang berkembang pesat di Bau.
Namun sejak 40 tahun lalu, Sungai Sarawak Kanan telah kehilangan kegemilangan sebagai “Blue Riband” pengangkutan sungai di pedalaman Daerah Bau.
Kini selepas bertahun-tahun diabaikan, sungai itu telah rosak. Sebahagian sungai telah berlodak dan kawasan lain telah mengumpul batang pokok yang tenggelam ke dasar sungai selain hakisan sungai akibat aktiviti manusia.
Justeru, kajian dan bengkel tersebut memfokuskan usaha untuk memulihkan dan menghidupkan semula laluan air, dalam masa yang sama mengenal pasti bahaya.