Berhijrah dari satu ke tempat ke tempat yang lain pasti memberi pengalaman sentimental lebih-lebih jika ia berkaitan dengan tempat mencari rezeki.
Terbiasa dengan suasana di tempat sendiri dan tidak sama dengan keadaan di lokasi baharu, tidak menjadi penghalang buat Awangku Hishammudin Pengiran Hashim menyesuaikan diri.
Berkongsi pengalaman, apabila berpindah ke Kuching, suasana pantai antara yang dirinduinya.
“Saya berasal dari Bintulu yang sangat terkenal dengan kawasan pantai, jadi apabila pindah di Kuching, kita terasa ada sesuatu yang hilang.
“Jadi kita pun cari, meneroka kawasan pantai di Kuching dari Santubong, Buntal, Lundu hingga ke Sematan bagi mengubat kerinduan di Bintulu,” katanya.
Tanpa disangka, Hishammudin ibarat mengalami cinta pandang pertama, apabila melihat keindahan pantai di Lundu serta kawasannya yang strategik untuk aktiviti riadah santai.
Beliau nekad membeli sebidang tanah di kawasan tersebut sebelum menubuhkan Sampadi Family Hideout – kawasan perkhemahan keluarga.
“Dari situ bermula kisah saya membeli tanah di kawasan ini hanya berpandukan keindahan kawasan pulau dan pantainya jadi tercetus rancangan membina rumah sendiri sebelum mewujudkan tapak perkhemahan ketika itu,” katanya.
SAMPADI FAMILY HIDEOUT
Menurut Hishammudin ia bermula sekitar Jun tahun lalu, namun rancangan asal adalah untuk menyediakan rumah inap.
Bagaimanapun, atas beberapa faktor termasuk kos yang tinggi dari segi operasi, cadangan membina rumah inap tidak diteruskan.
Sebaliknya, tampil dengan rancangan mewujudkan kawasan perkhemahan pantai yang menjadi trend masa kini khusus buat penggemar suasana tenang dan aktiviti santai.
“Kita mula dengan menyediakan bangsal sebagai permulaan, termasuk meletakkan rumput sebagai tapak khemah.
“Selepas itu, kita gunakan media sosial, sumber yang ada termasuk menangkap gambar dan merakam video untuk dikongsi di Facebook, tanpa disangka ia mendapat reaksi orang ramai,” katanya.
Selepas dibuka SFH menjadi pilihan orang ramai terutama mereka yang gemar aktiviti perkhemahan.
Kata Hishammudin, sambutan amat menggalakkan ketika sambutan Hari Malaysia pada 2022 apabila SFH dipenuhi kumpulan individu berkhemah di pantai.
“Kita tidak menjangka ini sebenarnya, tetapi Alhamdulillah, SFH mendapat maklum balas yang baik, ia merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan, apabila SFH dipenuhi orang ramai ketika itu.
“Bukan saja dari pengunjung tempatan, tapi dari luar pun ada termasuk dari Sabah, inilah pengalaman menarik yang boleh dijadikan kenangan bagaimana kawasan kediaman ini berubah kepada kawasan perkhemahan,” jelasnya.
MASA DEPAN SFH
Selepas kejayaan mewujudkan tapak perkhemahan pantai, SFH kata Hishammudin mempunyai perancangan masa depan dengan menjalinkan kolaborasi bersama rakan strategik.
Ia termasuk mewujudkan restoran makanan laut sebagai nilai tambah kepada tapak perkhemahan sekali gus menjadikannya tarikan dan pengalaman pengunjung.
“Setakat ini kita merancang kerjasama dengan kawan kita di sini untuk mereka menyediakan gerai makanan laut, jadi kita akan ada perkhidmatan makanan laut, selain trak makanan dan sebagainya.
“Antara lain termasuk penyediaan aktiviti pantai seperti ‘island hoping’ dari Pulau Sampadi ke Pulau Satang Besar dan Pulau Satang Kecil,” katanya.
Bagi penggemar aktiviti riadah santai ini, SFH mungkin jadi antara pilihan yang tepat.
Terletak kira-kira 70 kilometer dari Kuching, tapak khemah itu berada di Kampung Sampadi, Lundu dengan pengunjung boleh menikmati pengalaman berkemah di kawasan tepi pantai.
SFH menyediakan tapak perkhemahan beralaskan tanah rata dengan pemandangan laut yang biru, langit luas dan matahari terbenam terbaik.
Walaupun lokasinya agak jauh dari pusat bandar, namun ia sesuatu yang berbaloi bagi mereka yang mahu merasai nikmat ‘healing’ sebenar.