Trending

Hikmah masyarakat majmuk

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

Kita lihat pada hari ini, Allah SWT menciptakan wujudnya pelbagai kaum dan puak di muka bumi sehingga kita semua dapat melihat perbezaan dari segi warna kulit, bentuk tubuh, bahasa, adat, makanan dan sebagainya. 

Inilah keindahan yang Allah SWT tetapkan kepada umatnya agar mengambil manfaat di sebalik wujudnya kepelbagaian tersebut.

Namun, kita dapat lihat pada hari ini perbezaan itu dijadikan alasan untuk wujudnya pergaduhan dan perpecahan dalam kalangan manusia. 

Bahkan, perkara sebegini digunakan untuk memusnahkan kedamaian sesama insan, sedangkan itu bukanlah alasan supaya manusia berpecah. 

Seolah-olah kita kaum yang termulia dan terbaik berbanding yang lain atas sebab tertentu. 

Allah SWT menyatakan bahawa kita tidak dilihat pada bentuk luaran kita sahaja, namun kita dilihat dan dinilai pada hati dan ketakwaan. 

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu.

Maka sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang tersebut.

Ketahuilah! Wahai anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu.” (maksud hadis riwayat Muslim dan Tabrani)

Hadis tersebut menjelaskan kepada kita bahawa hati memainkan peranan penting dalam menentukan nilai dan taraf manusia tersebut. 

Manusia tidak diukur melalui keterampilan, kemasyhuran, harta dan pangkat yang dimiliki. 

Oleh itu, kita sering kali mendengar Allah SWT menyebut “wahai orang beriman” dalam al-Quran sebagai petanda kepada kita bahawa keimanan mewarnai keperibadian Mukmin. 

MEMILIKI KETAKWAAN 

Martabat yang paling tinggi dalam kalangan manusia adalah dari sudut ketakwaan. Bukannya terletak pada keturunan atau bangsa yang dia miliki. 

Justeru, manusia yang memiliki ketakwaan pasti manusia tersebut menjaga hubungan sesama manusia tanpa ada persepsi dalam menilai seseorang sekadar pandangan luaran dan itu bercanggah dengan kehendak Allah SWT. 

Firman Allah SWT: “Wahai umat manusia!

Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (maksud al-Hujurat: 13)

Kemudian perkara sebegini bertepatan dengan keadaan yang berlaku pada zaman para sahabat yang sentiasa melihat cara Rasulullah SAW mengamalkan Islam. 

Jelas terpapar keindahan akhlak Baginda ketika bersama-sama para sahabat tanpa pernah merendahkan mana-mana kaum dan puak. 

Dari Abu Nadhrah menceritakan kepadaku orang yang pernah mendengar khutbah Rasulullah SAW hari tasyriq, Baginda bersabda: “Wahai sekalian manusia! Rab kalian satu dan ayah kalian satu (maksudnya Nabi Adam).

Ingatlah.

Tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang Ajam (bukan Arab) dan bagi orang Ajam atas orang Arab, tidak ada kelebihan bagi orang berkulit merah atas orang berkulit hitam, bagi orang berkulit hitam atas orang berkulit merah kecuali dengan ketakwaan.

Apa aku sudah menyampaikan?” mereka menjawab: Iya, benar Rasulullah SAW menyampaikan.” (maksud hadis riwayat Ahmad)

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru