ARTIKEL

Hikmah nikmat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PENULIS pernah ditanya: berapa jam menonton televisyen dalam tempoh 30 hari.

Biasanya dalam 24 jam atau kurang 24 jam dalam sebulan.

Yang biasa ditonton adalah berita, perlawanan bola sepak serta rancangan berkaitan modifikasi kenderaan.

Filem dan drama jarangjarang ditonton.

Namun bulan ini, penulis telah menonton televisyen lebih 27 jam hanya dalam tempoh kurang seminggu.

Belum lagi ditambah masa menonton berita dan perlawanan bola sepak secara langsung.

Jumlah jam pasti mencanak naik.

Awal tahun ini, penulis dijebak dan terjebak menonton drama Melayu.

Satu episod durasinya 40 hingga 41 minit.

Untuk kesemua 40 episod drama ini — I Love You, Stupid, perlukan masa selama 27 jam.

Drama ini ditayangkan di slot drama TV3, mulai jam 7.00 malam Isnin hingga Jumaat tahun lepas.

Tetapi penulis hanya sempat menonton drama ini secara dalam talian selepas kesemua 40 episod drama ini tamat.

Ceritanya kisah cinta manusia yang disulami kasih dan cinta kepada Allah SWT.

Dilihat secara kasar, ceritanya banyak memaparkan hubungan cinta sesama manusia — lelaki dan wanita.

Namun, memerhati tema serta persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh penulis skrip drama ini, ia lebih menjurus kepada nilainilai keagamaan dan kemanusiaan.

Ceritanya begitu mudah untuk difahami, yang berkongsi begitu banyak kesan positif.

Banyak pengajaran dapat dikesan dalam drama ini, yang banyak berkaitan dengan kehidupan seharian kita.

Seorang anak jutawaan yang merendah diri, telah pergi ke bandar Ijora, (Kemboja) untuk meneruskan misi kemanusiaan.

Dia tinggal di Kampung Cham, yang penduduknya miskin, dan sangat memerlukan bantuan untuk hidup.

Malaysia antara negara utama penyumbang misi kemanusiaan di sini.

Dia (Iris) diajar tentang erti hidup susah di kampung oleh seorang pemuda — Firman.

Dia tinggal bersama-sama keluarga Firman — ditemani bonda dan adiknya, Fatimah.

Keluarga ini hidup secara sederhana di kampung yang penuh dengan nilai hidup keluarga Islam sebagai amalan harian.

“Walaupun mampu, saya segan dengan penduduk kampung.

Saya tidak mahu seperti tidak sama (berbeza) dengan penduduk kampung,” jelas Firman ditanya Iris tentang kenapa dia memilih hidup di kampung yang serba daif walaupun mempunyai rumah yang selesa, lengkap dengan kemudahan.

Tegas Firman, “Rumah ini rumah pusaka peninggalan arwah bapa.

Orang luar yang datang ke kampung ini akan tinggal di rumah ini.

Wang sewa saya gunakan untuk menampung keperluan madrasah dan masjid”.

Dialog-dialog dalam drama ini banyak bersandarkan Islam, terutama kecintaan kepada Allah SWT dan Islam.

Walaupun bergaduh besar tentang sesuatu hal yang dilihat agak remeh oleh penonton, watak Firman dapat mematahkan hujah-hujah Iris dengan dalil, cerita dan ayat-ayat al-Quran serta hadis Nabi Muhammad SAW.

Juga kasih sayang keluarga — adik kepada abang, abang kepada adik yang terdidik dengan doa yang baik-baik daripada bonda mereka walaupun telah kehilangan bapa dan seorang abang sulung disebabkan ada masyarakat dengki.

“Orang gila je tak sayang abang sendiri,” jawab Fatimah kepada Firman apabila melihat abangnya cedera di tangan.

Kasih sayang ditunjukkan melalui tindakannya memutuskan pertunangan Fatimah dengan pemuda kampung dengan alasan tidak solat Jumaat. Jelas Firman,

“Saya tidak berani pertaruhkan masa depan Timah.

Bagaimana dia hendak mendidik suami sedangkan dia (isteri) perlukan didikan agama daripada suami?”

Kasihnya ibu ditonjolkan oleh watak Bonda yang begitu faham dengan anak-anaknya.

Walaupun anak tidak memberitahu isi hatinya, ibu tetap tahu.

“Kalau ada rasa kasih dan sayang, luahkan.

Kamu tidak tahu lagi ke Fir? Iris sayangkan kamu…”

Dan si ibu tahu siapa layak menjadi pasangan hidup anaknya, yang melihat dari aspek nilai agama.

“Iris anak yang baik… jika bonda dah tiada lagi, rajin-rajinlah datang sini… tolong tengok-tengokkan Firman dan Timah.”

Perasaan seorang bapa juga ditonjolkan.

Dia tahu lelaki yang tidak sesuai untuk anaknya.

“Biasanya ketika berdua akan ada orang ketiga (bisikan syaitan)… sebelum ada orang ketiga itu, papa wujudkan orang ketiga untuk jaga Iris.”

Solat tiang agama juga ditonjolkan dalam drama ini.

Banyak diceritakan oleh Firman kepada Iris.

“Awak tahu kenapa kita solat?

Bagi saya, ini cara saya menunaikan hak Allah kepada saya.

Jika kita ikhlas solat, kita akan merasai hikmah kenikmatan.”

“Kita jangan jauh daripada Allah.

Jika Allah jauh dari kita, maka apa yang ada dengan kita?” soal Firman kepada Iris.

Satu lagi menarik tentang drama ini apabila banyak menggunakan pepatah dan peribahasa Melayu.

Penulis skrip cuba mengajak penonton melihat peribahasa, pepatah dan pantun Melayu dari sudut lain.

Nasi lemak buah bidara, Sayang selasih saya lurutkan; Buang emak buang saudara, Hati kasih saya turutkan.

Ini pantun kasih sayang yang disukai mereka yang hangat bercinta.

Dalam drama ini, pantun ini menceritakan tentang anak derhaka.

Jawapan kepada pantun ini dijawab dalam bentuk soalan: “Disebabkan seorang kekasih (lelaki atau perempuan) habis semua keluarga dibuang.

Awak sanggup?” Antara pepatah Melayu yang digunakan: “Dah ludah takkan nak jilat balik”, “Macam lembu yang kena cucuk hidung dan tarik begitu sahaja”, “Eh susah nak bercakap dengan orang degil ni.

Seperti menulis di angin lalu, melorek di awan berarak… kalau nak benda itu mesti nak juga”.

“Awak kena ingat satu perkara… di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau lari cepat.. takut kena ngap.” “Kata-kata yang disimpan akan terus jadi milik kita.

Sekali terlepas ia milik orang lain.

Menasihat awak ni seperti melukis di air, menulis di langit… tak ada kesan.”

“Kalau ilmu itu tidak cukup di dada, jangan nak berlagak sebukit.”

Drama ini turut menjelaskan ketidaksempurnaan telah menyempurnakan hidup.

Tonton drama ini bukan sekadar menggunakan pancaindera penglihatan (mata) tetapi menonton dengan mata hati bersandarkan kasih dan cinta kepada Allah SWT.

Pasti akan memperoleh hikmah atas nikmat yang diberikan kepada khalifahNya.

Semoga ada banyak lagi drama sebegini dihasilkan kerana pengembaraan kemanusiaan kadang-kadang terpesong.

Sekurang-kurangnya ada sedikit panduan diselitkan dalam hiburan untuk generasi hari ini.

LAIN-LAIN BERITA

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

BERITA TERBARU