Hilang harapan terhadap Tun M, punca GPS sokong Muhyiddin

BAU: “(Tun Mahathir) kiri kanan, kiri kanan, sebab itu kami sokong Muhyiddin,” kata Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Penjelasan beliau itu adalah berhubung keputusan GPS beralih sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Menurut Ketua Menteri, tindakan Tun Mahathir Mohamad yang tidak tentu arah menyebabkan GPS tidak dapat mengharapkannya untuk terus memegang tampuk kepimpinan negara.

Katanya walaupun pada awal GPS menyokong Tun Mahathir, namun beralih sokongan kepada Muhyiddin adalah keputusan yang meletakkan kepentingan Sarawak sebagai keutamaan.

“Pada awal memang kami sokong Tun Mahathir tetapi selepas itu beliau meletak jawatan, kemudian letak jawatan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan masuk balik, jadi apa yang dapat kami harapkan?

“Sebab itu kami sokong Muhyiddin dan pada masa sama, ia demi kepentingan Sarawak,” katanya.

Abang Johari berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media sempena Program Lawatan Kerja ke Serikin, di sini hari ini.

Suara Sarawak