Hilang kawalan punca kenderaan terjunam di feri Triso

SEBUYAU: Insiden sebuah kenderaan pacuan empat roda terjatuh di feri Triso berpunca daripada kenderaan itu hilang kawalan lalu menjunam ke dalam sungai.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Bingkok John ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.
Bingkok dalam kenyataannya turut mengesahkan kesemua sembilan individu yang berada di dalam kenderaan terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sembilan mangsa dikenal pasti sebagai Siti Aisha Abdullah, 36, Mohd Ahmad bin Mohd Hamdan, bayi lelaki empat bulan, Muhd Mustaqim Mohd. Hamdan, kanak-kanak lelaki lima tahun, Mohd Aiman Mohd Hamdan, kanak-kanak lelaki tujuh tahun, Ronany Ting, wanita yang juga pemandu berusia 33 tahun, Wallace Phang, kanak-kanak lelaki tujuh tahun,Alvin Phang, kanak-kanak lelaki 12 tahun serta dua remaja perempuan masing-masing berusia 14 dan 16 tahun iaitu Khairunnisa Muhamad dan Nor Shuhada Mohamad.