Hilang RM6.2 bilion akibat penipuan

ALOR SETAR: Sebanyak 25,000 kertas siasatan melibatkan kes jenayah komersial telah dibuka di seluruh negara membabitkan nilai kerugian berjumlah RM6.2 bilion bagi tempoh Jan hingga Dis tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata sepanjang tempoh sama, pihaknya juga telah menahan 15,000 individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah berkenaan.

“Daripada jumlah jenayah komersial yang dicatatkan, sebanyak 65 peratus membabitkan penipuan scam termasuk kes pinjaman tidak wujud, ‘Macau Scam’, ‘Love Scam’ dan ‘African Scam’ yang menggunakan internet sebagai medium untuk mencari mangsa.

“Penjenayah yang melakukan jenayah komersial ini sebenarnya tidak memerlukan tenaga atau masa yang banyak kerana hanya perlukan internet dan telefon bimbit. Mereka ini cuba nasib, dalam 10 orang yang mereka tipu mesti akan ada seorang yang terpedaya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Siri 1/2020 kepada 396 penerima di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Muhammad Azlee Abdullah.

Sementara itu, Mohd Zakaria meminta masyarakat supaya lebih peka dan melakukan semakan dengan pihak berkuasa atau agensi yang terlibat sekiranya menerima panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meragukan bagi mengelakkan mereka mengalami kerugian.

“Kita (JSJK) telah banyak buat kempen kesedaran berkaitan penipuan scam ini tetapi masih ramai lagi yang tertipu. Kepercayaan kepada penjenayah scam ini semakin meningkat sebab itu ada dari kalangan terpelajar dan profesional yang turut terpedaya.

“Jadi, kita minta masyarakat untuk tidak memberikan nombor akaun peribadi dan menyemak terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi ke dalam akaun yang diberikan. Proses transaksi sekarang pula sangat mudah kerana semuanya dalam talian sahaja,” katanya.

Katanya, masyarakat boleh bertanya atau menyalurkan aduan berkaitan penipuan scam atau jenayah komersial menerusi laman sosial media PDRM serta menghubungi atau datang terus ke balai polis yang berdekatan.

Suara Sarawak