ARTIKEL

Hong Kong larang import makanan laut dari Jepun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ISTANBUL: Hong Kong memberi amaran pada Rabu bahawa negara itu mengharamkan import makanan dari 10 wilayah di Jepun, jika negara itu melepaskan air sisa radioaktif yang dirawat dari loji kuasa nuklear Fukushima ke laut.

Setiausaha Alam Sekitar dan Ekologi Tse Chin-wan berkata, 10 wilayah itu ialah Tokyo, Fukushima, Chiba, Tochigi, Ibaraki, Gunma, Miyagi, Niigata, Nagano dan Saitama, lapor Agensi Anadolu memetik laporan Hong Kong Free Press.

Sejumlah kira-kira 1.33 juta meter padu air, air bawah tanah dan air hujan yang digunakan untuk penyejukan, terkumpul di loji Fukushima yang lumpuh itu.

Kemalangan nuklear besar berlaku pada Mac 2011 apabila tsunami yang dicetuskan oleh gempa bumi melumpuhkan kuasa dan sistem penyejukan untuk tiga reaktor di Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi.

Tse menekankan bahawa untuk mengawal aktiviti alam sekitar yang berpotensi berbahaya, larangan dilaksanakan ke atas semua import makanan laut (beku, sejuk, kering), produk rumpai laut yang diproses dan tidak diproses serta garam laut.

Beliau berkata larangan terhadap hasil segar dan susu dari Fukushima dan negara jiran Chiba, Ibaraki, Tochigi dan Gunma, kekal, berkuat kuasa selepas bencana pada Mac 2011.

Sementara itu, dalam pertemuan dengan pegawai Kerajaan Hong Kong, Kementerian Luar Jepun meminta Hong Kong tidak melaksanakan peraturan lebih ketat ke atas import makanan dari Jepun, lapor Agensi Anadolu.

“Keselamatan produk makanan Jepun dijamin dan meminta sekatan import semasa Hong Kong terhadap makanan dan produk pertanian Jepun dihentikan segera,” kata kementerian itu.

Tse yang menolak tanggapan bahawa dasar Hong Kong berkenaan air sisa Jepun dipengaruhi oleh Beijing, berkata keputusannya itu mengutamakan kesihatan dan keselamatan warga Hong Kong.

“Kerajaan Hong Kong akan memantau untuk suatu tempoh masa selepas pelepasan itu bagi memperoleh lebih banyak data pemantauan dan saintifik akan kesan pelepasan air sisa nuklear Fukushima itu terhadap keselamatan makanan dan mengkaji langkahlangkah yang relevan dari semasa ke semasa,” menurut laporan itu. – Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Anugerah pencetus semangat Bonnie

KUCHING: Jaguh powerlifting dunia kelahiran Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin menyifatkan Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2023 diterima malam kelmarin sebagai pencetus semangat untuk terus cemerlang dalam

Tiga bot nelayan ditahan APMM

MIRI: Tiga bot nelayan tempatan bersama 1,000 kilogram ikan dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Miri di kedudukan 3.3 batu nautika barat laut

Geng Piji tumpas

KUCHING: Geng Piji yang aktif mencuri kenderaan selain terlibat dalam kes pecah rumah, samun dan curi kabel akhirnya tumpas apabila ketua termasuk 11 ahlinya dicekup