Hormati keputusan Dr. Jerip

KUCHING: Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof menghormati keputusan Datuk Dr. Jerip Susil melepaskan jawatan dan meninggalkan Parti Sarawak Bersatu (PSB) serta-merta.

Menurutnya, keputusan Timbalan Presiden PSB itu dibuat atas pilihannya sendiri.

“Itu pilihan beliau (Dr. Jerip) dan kita tidak dapat membuat sebarang keputusan bagi beliau.

“Kita juga tidak berhak untuk menghalang beliau dalam membuat keputusan tersebut,” katanya.

Fadillah malah memberitahu, beliau menghargai keputusan yang diambil Jerip, yang memberi kepercayaan sepenuhnya kepada GPS termasuk terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Saya cuma berterima kasih kepada beliau kerana memberi kepercayaan kepada GPS dan

Ketua Menteri,” tambahnya. Sementara itu, Naib Presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah enggan memberi sebarang komen.

“Setakat ini, saya tidak mempunyai sebarang komen,” katanya. PSB merupakan serpihan daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) namun bukan sebahagian daripada komponen parti GPS.