KUCHING: Hornbill Skyways kini bekerjasama dengan Petronas Dagangan Berhad bagi pelaksanaan bahan api penerbangan mampan dalam perkhidmatan helikopter luar pesisir.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada 23 Mei lalu.
“Sarawak telah mengambil langkah perintis dengan meneroka mikroalga sebagai potensi sumber tenaga boleh diperbaharui dan bahan bakar penerbangan mampan (SAF) pertama di dunia yang dihasilkan menggunakan alga digunakan dalam kerjasama ini.
“Melalui inovasi ini bukan sahaja akan memacu ekonomi tetapi juga mewakili sumbangan yang signifikan ke arah mencapai agenda ekonomi hijau kami menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Kontrak Operasi Miri antara Hornbill Skyways dan Petroleum Arrangement Contractors (PAC) serta Perjanjian Perkhidmatan Teknikal antara Hornbill Skyways dan HAS International di sini, hari ini.
Abang Johari menambah kerjasama itu juga bukan sahaja mengukuhkan industri penerbangan negeri tetapi juga mempamerkan visi bersama kedua-dua pihak untuk mendorong ekonomi, meningkatkan keupayaan dan mempromosikan bakat serta kepakaran tempatan.