KUCHING: Sebuah hospital medan dengan kapasiti 86 katil akan diwujudkan di Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mengatasi masalah kesesakan yang dihadapi ketika ini.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, proses tender akan dijalankan dalam masa terdekat sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.
“Antara masalah dihadapi di HUS adalah ruang kerja terhad yang memerlukan penambahan. Justeru pendekatan yang kita ambil buat masa ini ialah pembinaan hospital medan untuk wad biasa di hospital ini yang boleh menampung 86 katil dengan proses tender akan dijalankan.
“Ini antara penyelesaian jangka pendek untuk menyediakan satu ruang tambahan serta katil tambahan. Setakat ini kita telah berjaya membina hospital medan di Hospital Miri dan Hospital Sibu,” katanya pada sidang media selepas melawat HUS, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya hospital sementara itu perlu dibina segera memandangkan HUS adalah satu-satunya hospital wilayah yang terdapat di Sarawak dengan semua kepakaran terdapat di situ.
HUS merupakan hospital rujukan pakar bagi Sarawak dan menerima pesakit rujukan daripada 23 hospital seluruh negeri ini. Termasuk 58 klinik kesihatan dari Bahagian Kuching dan Samarahan.
Ia menawarkan lebih dari 22 kepakaran dan 50 sub-kepakaran serta mempunyai 19 klinik pakar. HUS juga mempunyai 1007 katil rasmi dan 10 dewan bedah serta jumlah kakitangan seramai 4,603 orang.
HUS juga mengetuai Hospital Kluster Sarawak Selatan yang mempunyai jaringan dengan Pusat Jantung Sarawak (PJS), Hospital Serian, Hospital Bau, Hospital Sentosa, Hospital RCBM, Hospital Lundu dan Hospital Simunjan.