ARTIKEL

Abang Johari bersama-sama isteri serta tetamu kehormat lain memotong kek sempena ulang tahun ke-35 Pusat Pakar Perubatan Normah di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Hospital Normah terajui Sarawak sebagai pusat rujukan perubatan di Borneo

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pembinaan Hospital Normah baharu akan menerajui dasar Kerajaan Sarawak untuk menjadikan wilayah ini sebagai pusat rujukan perubatan di Borneo.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata hospital canggih yang sedang dibina itu bukan sahaja menyediakan perkhidmatan perubatan kepada penduduk tempatan tetapi juga dari negara-negara jiran iaitu Indonesia dan Brunei Darussalam.

“Polisi kita adalah mahu menjadikan Sarawak sebagai pusat rujukan perubatan di Borneo.

“Oleh itu kita menaik taraf semua kemudahan di Normah agar dapat menyediakan perkhidmatan perubatan termasuk kepada negara-negara jiran khususnya Indonesia yang akan memindahkan ibu negaranya, Nusantara ke Kalimantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-35 Pusat Pakar Perubatan Normah di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Hadir sama isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak selaku Pengerusi Sarawak Medical Centre Sdn Bhd, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Pusat Pakar Perubatan Normah, Dato Dr. Au Yong Kien Hoe.

Menurut Abang Johari, Pusat Pakar Perubatan Normah menjadi salah satu penyumbang utama kepada pelancongan perubatan Sarawak yang berkembang pesat, menarik pesakit dari luar sempadan terutamanya dari Pontianak dan Singkawang di Kalimantan.

Sehubungan itu, beliau berkata Hospital Normah baharu dibina, yang akan dilengkapi dengan perubatan terkini dan teknologi canggih.

“Hospital canggih ini sedang dibina di tepi sungai Santubong, menawarkan kepada pesakit persekitaran yang memberi penyembuhan dan ketenangan semasa mereka menerima rawatan.

“Ia juga mesra alam serta dilengkapi dengan kompleks beli-belah dan hotel…ekosistem holistik ini bertujuan menyediakan pesakit dan keluarga mereka dengan keselesaan dan kemudahan,” katanya.

Sementara sebagai penghargaan ke atas dedikasi dan usaha semua kakitangan tetap Pusat Pakar Perubatan Normah, Abang Johari turut memaklumkan bonus dua bulan gaji kepada mereka.

BERITA LAIN

PM Thailand disahkan positif COVID-19

BANGKOK, Thailand: Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, mengesahkan semalam bahawa beliau positif COVID-19. Srettha mengumumkan di akaun rasmi X miliknya bahawa beliau akan mengambil cuti

BERITA TERBARU