KUCHING: Hospital Petra Jaya yang kini sedang dalam proses pembinaan dijangka beroperasi sepenuhnya kepada orang awam menjelang awal tahun 2025, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata, kemajuan pembinaan hospital kedua terbesar di Sarawak oleh kontraktor penyelamat itu kini mendahului jadual asal iaitu sebanyak 51 peratus.
Katanya, dengan pencapaian ke hadapan sekarang iaitu sebanyak 1.63 peratus, secara fizikal hospital ini akan siap sepenuhnya pada 25 November 2024 sekali gus dapat mengurangkan kepadatan dan kesesakan di Hospital Umum Sarawak.

“Setelah siap dari segi fizikal, terdapat beberapa proses yang perlu dijalankan seperti penyerahan projek, fasa pemasangan kelengkapan dan sebagainya sebelum beroperasi sepenuhnya.
“Kita akan cuba memastikan hospital ini boleh beroperasi dan dinikmati oleh rakyat Sarawak beberapa bulan selepas projek itu siap, kemungkinan pada tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di hospital berkenaan, hari ini.

Ahli Parlimen Sibuti itu menambah, pihak kontraktor yang dipilih juga akan mempercepatkan kerja-kerja pembinaan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Saya ambil maklum projek sakit sebegini berdepan dengan isu tenaga kerja, namun pihak kontraktor memaklumkan mereka mempunyai gerak kerja mencukupi, gabungan daripada warga tempatan, warga asing dan warga Semenanjung Malaysia.
“Dengan tenaga kerja yang bertambah selepas ini, saya arahkan JKR untuk terus memantau projek ini bagi memastikan projek tersebut berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
“Dengan harapan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku seperti pandemik, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengejut dalam tempoh dua tahun ini,” ujarnya.
Berhubung dengan tempat letak kenderaan awam katanya, terdapat hampir 1,569 tapak letak kereta dalam bangunan dan luar bangunan manakala sebanyak 1,283 tapak bagi meletakkan motosikal untuk kegunaan awam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Ooi Choo Huck, Jurutera Safwan Blackfox Engineering Sdn. Bhd Ahmad Safwan Ab Aziz, Jurutera Awam Penguasa Kanan JKR Malaysia Morni Buang dan Jurutera Awam Kanan JKR Sarawak Ir. Awang Hairil Benjamin Awang Bolhi.