Hospital Sibu perlu bantuan, tampung 400 pesakit Covid-19

SIBU: Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong Kaunselor Wong Ching Yong mencadangkan agar kerajaan negeri dapat menghantar pasukan perubatan untuk membantu pihak hospital Sibu dalam merawat pesakit Covid-19 di sini.
Beliau berkata, menurut maklumat terdapat lebih dari 400 pesakit Covid-19 sedang menerima rawatan di hospital Sibu susulan dari peningkatan kes jangkitan COVID-19 dari Kluster Pasai.
“Dalam beberapa hari lalu, Hospital Sibu terpaksa melakukan ujian saringan kira-kira 2,000 ujian PCR COVID-19 yang melibatkan kontak rapat kluster tersebut.
“Sudah pasti dengan peningkatan kes serta kerja-kerja berkaitan dengan pengesanan aktif COVID-19 ini, kakitangan hospital Sibu pasti mengalami tekanan kerja,” katanya di sini, hari ini (Jumaat).
Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu itu berpendapat, hospital Sibu sudah pasti tidak mempunyai tenaga dan peralatan yang mencukupi untuk menjalankan ujian PCR lebih-lebih lagi jika lebih ramai orang datang ke hospital untuk melakukan ujian saringan PCR COVID-19.
“Dengan jumlah pesakit yang ramai serta tempat yang terhad untuk menempatkan para pesakit, saya boleh bayangkan macam mana keadaan petugas-petugas kesihatan kita di sana (hospital Sibu).
“Setahu saya, hampir semua pegawai perubatan dan kakitangan sokongan seperti jururawat di jabatan lain di Hospital Sibu kini diarahkan untuk bertugas di wad COVID-19 mulai esok mulai hari ini,” kata Wong.
Rentetan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan Sarawak mengkaji situasi sebenar keadaan di hospital Sibu dengan menghantar lebih ramai petugas dari kawasan lain untuk membantu Hospital Sibu.
Dalam pada itu, Wong turut bersetuju dengan penguatkuasaan PKP di bahagian Sibu yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) semalam.
Menurut beliau, ia adalah langkah yang tepat untuk membendung peningkatan kes positif COVID-19 susulan dari Kluster Pasai.
“Sekiranya PKP tidak dilaksanakan, maka jumlah kes positif COVID-19 di Sibu akan terus meningkat tanpa kawalan seperti yang berlaku di Sabah dan Semenanjung Malaysia,” ujar beliau.
Wong menjelaskan cara terbaik untuk mengelakkan COVID-19 adalah sentiasa mematuhi SOP dengan ketat seperti kekal berada di rumah, memakai pelitup muka, kerap membersihkan tangan dan mengamalkan penjarakan fizikal.