Hospital Sri Aman antara enam projek sakit

KUCHING: Terdapat enam ‘projek sakit’ disenaraikan di Sarawak, termasuk projek Hospital Sri Aman yang menelan kos RM176.27 juta dan lewat 24.39 peratus daripada jadual sebenar.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, projek lain termasuk Kuarters dan Pos Imigresen Ba’kelalan berharga RM14.98 juta (54.12 peratus) dan pembinaan jalan ke Empangan Baleh yang berharga RM1.419 bilion (lewat 26.52 peratus) dan pembinaan kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong, Miri, RM23.4 juta (lewat 49.77 peratus).

“Dua lagi projek sakit ialah pembinaan Pusat Interpretasi Jantung Borneo dan sekolah baharu SMK Tudan; masing-masing lewat 18.17 peratus dan 16.43 peratus,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTN) bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, semalam.

Sehingga 23 Jun lalu katanya, sebanyak 613 projek Persekutuan telah diran- cang untuk dilaksanakan di Sarawak dalam Rancangan Malayasia Ke-11 (RMK11) de- ngan kos mencecah RM4.31 bilion.

“Secara keseluruhannya, prestasi kerja semasa adalah sekitar 16.5 peratus atau RM700.11 juta berbanding peringkat nasional, 42.5 peratus bersamaan RM23 bilion,” jelasnya.

Projek yang siap dilaksanakan di Sarawak pula berada pada tahap 10 peratus, manakala selebihnya di pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Maka kerjasama dengan Kerajaan Sarawak amat penting sebagai batu loncatan bagi kita dari segi pelaksanaan pembangunan di negeri ini. Untuk sebarang projek yang lewat katanya, tender syarikat yang terlibat akan dikaji semula di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Antara punca kelewatan projek termasuklah berlakunya masalah dalaman dalam kalangan kontraktor yang dilantik,” tambahnya.