Hospital swasta mula beri suntikan vaksin hari ini

KUALA LUMPUR: Beberapa hospital swasta dalam negara ini sudah mula memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada orang awam selepas kerajaan bersetuju hospital swasta digunakan sebagai pusat vaksinasi dalam fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Di PULAU PINANG, tiga hospital swasta memulakan operasi pemvaksinan mereka hari ini, iaitu Hospital Pantai Pulau Pinang, Hospital Lam Wah Ee (HLWE) dan KPJ Pulau Pinang dengan sasaran untuk memberikan suntikan vaksin kepada 500 penduduk negeri itu sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, Dr Anas Alam Faizli, berkata lebih banyak lagi hospital dan doktor swasta yang berdaftar di bawah program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan beroperasi selepas ini.

“Kami percaya jika semua doktor dan hospital swasta di Pulau Pinang menyertai program vaksinasi PPV, kami boleh meningkatkan dan mencapai dos sasaran sehari yang ditetapkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya kepada BERNAMA ketika meninjau PPV di Hospital Pantai, hari ini.

Beliau berkata 12 hospital dan lebih 100 doktor swasta sudah berdaftar dengan ProtectHealth, pelaksana penyertaan pengamal perubatan swasta dalam program imunisasi kebangsaan.

Suara Sarawak