Hotel beri cuti tanpa gaji untuk kakitangan

KUCHING: Industri hotel dan pusat peranginan di Sarawak kini berdepan situasi sukar semula, disebabkan penularan Covid-19.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sarawak Mohamad Ibrahim Nordin (gambar) berkata, sebahagian besar syarikat sedang melaksanakan “sudut pemotongan” bagi meringankan kos operasi.

“Kebanyakan pengurusan hotel memilih untuk menawarkan kakitangannya cuti tanpa gaji selama lima hari sebulan.

“Ada juga yang menawarkan 15 hari cuti tanpa gaji untuk mengekalkan operasi dan kakitangan,” katanya yang dihubungi, semalam.

Beliau berkata ketika ini, hanya hotel dijadikan sebagai pusat kuarantin yang masih mampu bertahan dan dapat menampung sebahagian daripada kos operasinya.

“Namun mereka masih mencari kelangsungan perniagaan disebabkan “outlet” dan “banquet” ditutup,” katanya.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata tiada hotel atau pusat peranginan di Sarawak yang diisytiharkan gulung tikar buat masa ini.

Suara Sarawak