Hotel tidak dibenar terima tetamu

KUCHING: Semua hotel yang diwartakan sebagai stesen kuarantin Covid-19 tidak dibenarkan menerima kemasukan tetamu baharu meskipun industri berkenaan diberi lampu hijau beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 12 Mei lalu.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kebenaran untuk hotel-hotel itu beroperasi akan diberikan apabila warta berkenaan diangkat dalam satu pemberitahuan yang sewajarnya.

“Semua hotel dan rumah penginapan di Sarawak dibenarkan beroperasi di bawah PKPB mulai 12 Mei lalu.

“Bagaimanapun, hotel yang diwartakan sebagai stesen kuarantin Covid-19 tidak dibenarkan beroperasi sehingga ia diangkat pada masa sesuai,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini semalam.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan menambah, pihak pengurusan hotel harus memastikan penjarakan sosial berlaku antara tetamu serta menyediakan sanitasi tangan.

“Kemudahan seperti gimnasium, kolam renang, bilik sembahyang, sauna, spa, pusat perniagaan, dewan persidangan dan bilik mesyuarat tidak dibenarkan untuk digunakan.

“Setiap pekerja dan tetamu harus menggunakan pelitup muka sentiasa serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak kesihatan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, restoran dan kafeteria di dalam hotel hanya dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 10 malam untuk kerjakerja pembungkusan makanan, penghantaran, perkhidmatan bilik dan makan ala carte sahaja.

“Hidangan secara bufet pula tidak dibenarkan.

“Tetamu perlu kekal di bilik masing-masing dan tidak dibenarkan berkumpul di sebarang tempat di dalam premis hotel,” katanya.

Tegas Karim, pihak pengurusan hotel perlu membuat aduan kepada Jabatan Kesihatan sekiranya terdapat tetamu yang dijangkiti Covid-19 dengan kadar segera.

Sebarang pertanyaan mengenai operasi hotel semasa PKPB boleh dituju kepada mtac.sarawak. gov.my