Huang azam terus bela nasib rakyat

SARIKEI: Memberikan perkhidmatan terbaik di samping meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat adalah sebahagian misi utama ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Menurutnya, antara fokus utama beliau termasuklah menyediakan kemudahan yang mencukupi bagi menampung keperluan penduduk di samping meningkatkan prasarana pendidikan.

Sepanjang tiga tahun menjadi wakil rakyat katanya, pelbagai usaha dilakukannya termasuk menaiktaraf infrastruktur dan kemudahan asas untuk rakyat termasuk sekolah, gereja dan rumah panjang sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

“Saya juga amat menitikberatkan soal pendidikan kerana sedar ia satu-satunya jalan terbaik untuk keluar daripada belenggu kemiskinan. Bertitik tolak daripada kesedaran itu, saya banyak berusaha membaiki insfrastruktur di sekolah di DUN N.45 Repok.

“Tidak sekadar itu, saya menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk pakaian seragam, kasut dan beg sekolah bagi memastikan golongan muda tidak tercicir dari alam persekolahan.

Huang (duduk tengah) bersama penduduk menunjukkan GPS dalam program pemimpin bersama rakyat di Sungai Merudu Sarikei.

“Saya yakin ilmu dan kemahiran mampu menjana ekonomi di samping memberi faedah kepada semua peringkat masyarakat,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di restoran Wan Soon di sini, semalam.

Huang memberitahu, banyak program telah dianjurkan bagi memberi manfaat kepada masyarakat sepanjang penglibatannya sebagai wakil rakyat.

Pada masa yang sama katanya, beliau lebih gemar mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi masyarakat dengan menghadiri perjumpaan yang dianjurkan.

“Sudah pasti, saya akan berusaha sedaya upaya membantu rakyat dalam apa-apa jua isu yang berbangkit terutama yang melibatkan kepentingan bersama.

“Oleh kerana itulah, saya berharap mereka memerlukan bantuan terutama yang melibatkan infrastruktur seperti jalan raya dan lain-lain lagi agar mengemukakan pemohonan secepat mungkin. Permohonan boleh disalurkan kepada Pusat Khidmad N.45 Repok,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengulangi penghargaannya kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang melaksanakan projek berimpak tinggi untuk rakyat di kawasan ini.

“Antaranya, projek pembinaan Jalan Sungai Pasi ke Sibu, pembinaan jalan ke Tanjung Manis dan banyak lagi. Ini menunjukkan beliau amat prihatin terhadap keperluan rakyat Sarikei. Terima kasih Abang Jo.

“Sehubungan itu, saya mengesa seluruh rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya agenda pembangunan yang kita rancang dapat diteruskan,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengadakan majlis perjumpaan bersama rakyat di rumah Lau Chik Ping, Sungai Merudu.

Kedua-dua program mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat. Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan pemimpin masyarakat.

Beliau lebih gemar mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi masyarakat dengan menghadiri perjumpaan yang dianjurkan

 

Program mendapat sambutan hangat