Huang azam terus perjuang nasib rakyat Repok

SARIKEI: ADUN N.45, Repok Dato Sri Huang Tiong Sii memberi jaminan meneruskan perjuangannya membela nasib rakyat di kawasannya termasuk di pedalaman dan luar bandar.

Menurutnya, masih banyak yang perlu dilaksanakan di kawasan Repok khususnya dalam aspek pembangunan.

Katanya, usaha itu bukan sahaja merapatkan jurang pembangunan antara luar bandar dan bandar tetapi juga memastikan rakyat terbela dalam segenap sudut.

“Sepanjang tahun saya mewakili DUN Repok, sudah pasti saya tahu apa yang rakyat mahu dan perlukan.

“Usaha ini bukan sekadar menaik taraf infrastruktur seperti jalan raya, membaik pulih rumah panjang dan rumah kampung, menaik taraf bekalan air dan elektrik serta kemudahan lain tetapi juga merangkumi aspek sosial dan pendidikan,” katanya pada Majlis Perasmian Baik Pulih Rumah di Rumah Awan, Sungai Stok dekat sini, baru-baru ini.

Beliau memberi jaminan kualiti pendidikan generasi muda terus diperjuangkan melalui sokongan padu terhadap aspek yang berkaitan.

Sehubungan itu katanya, kepimpinan Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat menitikberatkan pembangunan ke hingga peringkat akar umbi.

“Kita amat bersyukur kerana mempunyai seorang Ketua Menteri yang berwibawa dan sentiasa berusaha gigih untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Di bawah kepimpinan Abang Jo, ekonomi di Sarawak terus berada pada landasan kukuh dan sudah pasti Sarawak merealsasikan impian itu.

“Saya mewakili seluruh rakyat di N. 45 Repok amat berterima kasih dengan projek seperti pembinaan jalan ke Tanjung Manis, pembinaan jalan di luar bandar dan sekolah selain pembangunan agro industri di Sarikei,” ujarnya.

Suara Sarawak