Huang hulur peruntukan khas bina semula Rumah Entagau

SARIKEI:  Lebih 100 penghuni Rumah Entagau Stok, di sini, menarik nafas lega selepas mendapat peruntukan khas untuk membina semula kediaman mereka.

Peruntukan disumbangkan oleh ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Menurut Tuai Rumah, Entagau Kasi, pemberian sumbangan itu bukan sahaja mengakhiri penantian tetapi meringankan beban mereka.

“Saya bersyukur mempunyai seorang wakil rakyat prihatin yang menghulurkan peruntukan khas untuk membina semula rumah kami.

Huang dan rombongan meninjau tapak bina semula Rumah Entagau, semalam.

“Sumbangan itu, membuktikan beliau seorang pemimpin amat memahami keperluan kami untuk menikmati kediaman yang lebih selamat dan selesa,” katanya.

Dalam pada itu, Huang berkata, pemberian peruntukan khas tersebut menunjukkan Kerajaan Sarawak tidak mengabaikan rakyat.

Rumah panjang itu ujarnya, mempunyai 18 pintu dan dihuni kira-kira 100 penduduk.

“Saya memandang serius keperluan rakyat dan sentiasa mengambil pendekatan tersendiri untuk menyelesaikannya. Yang pasti, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengenepikan rakyat.

“Sehubungan itu, saya berharap rakyat Repok terus berdiri teguh di belakang GPS dan memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang banyak membantu kita di kawasan ini,” katanya.

Keprihatinan kerajaan GPS mengakhiri penantian penduduk.