Huang hulur RM300,000 bina tembok pagar Tanah Perkuburan Islam Sarikei

SARIKEI: ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menyalurkan peruntukan RM300,000 untuk membina tembok pagar tanah perkuburan Islam di Jalan Haji Karim di sini.

Peruntukan disalurkan menerusi RTP 2018 manakala projek pembinaannya pula siap sepenuhnya pada tahun lalu.

Huang berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian usaha untuk menjaga keselamatan kawasan perkuburan itu daripada sebarang aktiviti pencerobohan.

“Saya gembira projek ini memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Islam termasuk di kawasan Repok.

“Ia merupakan sebahagian sumbangan saya menerusi RTP 2018 selepas menerima permohonan untuk membina tembok pagar ini, ” katanya kepada wartawan.

Terdahulu Huang turut meluangkan masa menghadiri gotong royong sempena sambutan Jubli Ke 30 Tahun Jabatan Agama Islam Sarikei.

Hadir sama, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab.

Dalam pada itu, beliau mengulangi penghargaannya kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg yang banyak melaksanakan program pembangunan untuk rakyat Sarikei.

Katanya, pelaksanaan projek pembangunan berimpak tinggi seperti Jambatan Sungai Pasi dan laluan baharu ke Tanjung Manis membawa faedah besar kepada rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muttaqin, Kaunselor Abang Ibrahim Abang Kipni berkata, selain mengelak pencerobohan, projek itu juga meluaskan ruang kawasan perkuburan berkenaan.

“Tanah perkuburan ini sudah berusia dan sempit. Dengannya pagar baharu ini, kita boleh melakukan kerja menembok semula sekaligus menambah ruang yang diperlukan,” katanya.

Suara Sarawak