Huang hulur sumbangan lima ekor lembu korban

SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menyumbangkan lima ekor lembu untuk dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha.

Sumbangan itu membuktikan keprihatinan pemimpin berkenaan selain sanggup berkongsi rezeki bersama rakyat termasuk mereka yang beragama Islam.

Pada masa yang sama sebanyak 38 ekor lembu akan diagih untuk dikorbankan oleh masyarakat Islam sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di sini, tahun ini.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh melalui Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang menyumbangkan sebanyak 22 ekor lembu, Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang ( sembilan ekor) dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei ( Lakisri) dua ekor.

Lembu akan diagihkan kepada kampung, masjid dan surau di sekitar Sarikei dan Tanjung Manis.

Huang menzahirkan ucapan salam Aidiladha untuk masyarakat Islam Sarikei.

Sepertimana tahun-tahun sebelum ini, sumbangan ikhlas itu juga menzahirkan rasa kasih dan sayang serta sikap peduli rakyat. Lembu yang akan dibahagikan itu akan disembelih sebelum dagingnya diagihkan kepada penduduk sekitar.

Ia membolehkan lebih ramai penduduk berpeluang merasai daging korban, terutama golongan kurang berkemampuan.

Sehubungan itu, Huang dalam ucapan ringkasnya mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada seluruh masyarakat Islam di Sarikei.

Beliau menggesa semua pihak supaya mempertahankan perpaduan dan sentiasa menyemai semangat muhibbah

Dalam pada itu, Ahli Palimen P.206 Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab menyumbang sebanyak RM3,000 kepada setiap masjid, RM2,000 setiap surau dan RM1,500 untuk setiap surau kerajaan yang terpilih di kawasannya.

Majlis korban perdana yang berlangsung di Masjid Al- Mutaqqin pada 12 Ogos ini akan bermula pada 6.30 pagi.

Antara lembu korban sumbangan Huang
Majlis korban perdana akan berlangsung di Masjid Al Mutaqqin Sarikei 12 Ogos ini.

Suara Sarawak