Hubungan dengan Sarawak lebih kukuh

KOTA SAMARAHAN: Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad menyifatkan pertemuannya dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia sebagai satu nostalgia.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, ia umpama mengunjungi sahabat lama yang saling mengenali satu sama lain lebih daripada 30 tahun.

“Malah Sarawak ialah negeri pertama yang saya lawati selepas dilantik dalam barisan kabinet Perikatan Nasional (PN).

“Saya yakin hubungan akrab antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak akan lebih kukuh di bawah PN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Negeri Sarawak di sini kelmarin.

Dalam ucapannya pula, Latiff memberitahu, kedudukan PN agak kukuh di Bumi Kenyalang.

“Kita akan kukuhkan kedudukan kita di Sarawak bukan hanya di Malaya (Semenanjung Malaysia) sahaja.

“Malah Sarawak tidak lama lagi akan menentukan tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri dan ia amat penting sebagai kesinambungan pembangunan rakyat negeri ini,” tegasnya.

Kata Ahli Parlimen Mersing itu lagi, kesinambungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak akan menguntungkan rakyat terutamanya dalam pembangunan luar bandar.

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan hormat terhadap Abang Johari dan Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Lawatan Latiff ke Sarawak diteruskan ke Lawas semalam.