Hubungan Negeri dan Persekutuan bakal berwajah baru

LUBOK ANTU: Kerajaan Sarawak bakal membuat keputusan besar mengenai hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan, tidak lama lagi, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Semalam, Ketua Menteri memberi bayangan bahawa keputusan itu berkait rapat dengan tuntutan Sarawak mendapatkan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Usaha mendapatkan hak kita akan diteruskan. Saya yakin tidak lama kita akan membuat keputusan mengenai hubungan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada lawatan rasmi di Kompleks Sukan Lubok Antu di sini, semalam.

Menurutnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dianggotai empat parti yang membentuk Kerajaan Negeri masih kekal sebagai rakan kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membantu membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Kita bukan ahli, sekadar rakan kerja. Sarawak lebih berautonomi dan kita tidak terikat kepada mana-mana pihak untuk mencorak negeri ini,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai keputusan itu.

Terdahulu, Pengerusi GPS itu berkata, parti berkenaan merupakan parti yang sentiasa menggotakan janjinya. Menurutnya, rakyat boleh melihat apa yang diusahakan oleh GPS selama ini terutamanya projek untuk keselesaan rakyat.

….Untuk berita selanjutnya dapatkan naskhah Suara Sarawak 31 Mac 2021

Suara Sarawak