Hudson sandaran S’wak United FC I

SKUAD Sarawak United FC I (SUFC I) yang akan bersaing dalam Liga Premer 2020 mengekalkan penyerang import musim lalu, Hudson Dias, 30.

Menurut sumber, penyerang dari Brazil itu berjaya memikat jurulatih dari Sepanyol, Juan Carlos Magro.

Mempunyai ketinggian 6 kaki 2 inci dan kawalan bola yang baik merupakan aset penting Dias yang mampu memberikan ancaman terhadap mana-mana benteng pasukan dalam Liga Premier.

“Dia akan bergandingan dengan seorang lagi import asing bagi membentuk kekuatan yang lebih lagi,” kata sumber.

“Dengan adanya gandingan yang lebih baik, Dias mampu tampil lebih menyerlah,” jelasnya.

Dias gagal memberikan impak sebenar sepanjang musim lalu kerana kekurangan pemain berkaliber dalam pasukan Sarawak 2019.

Yang pasti, beliau dijangka akan lebih menyerlah musim ini dengan kehadiran sekumpulan pemain tempatan handalan dan import asing berwibawa.

Skuad SUFC I sekarang ini menjalani latihan seperti biasa, di bawah kendalian Carlos Magro sambil dibantu oleh Safri Amit.

Mereka telah pun berada dalam fasa terakhir persiapan dan bakal melengkapkan senarai pemain sedikit masa lagi.

SUFC I mengekalkan beberapa pemain tempatan musim lalu, sambil menambat beberapa pemain handalan dari Semenanjung Malaysia.

Bekas pemain Harimau Muda dan bekas pemain skuad Liga Super 2019 Kuala Lumpur, Ashri Chuchu merupakan antara muka baharu SUFC I.

Menurut pemerhati Liga Malaysia 2020, SUFC I dilihat sebagai antara pasukan pilihan untuk bersaing dengan barisan handal lain seperti Kuala Lumpur, JDT II, Negeri Sembilan, Kuching FA dan Kelantan United.

Suara Sarawak