Hudud tidak akan dibenar di Sarawak

KUCHING: Undang-undang hudud tidak akan memasuki dan terpakai di Sarawak, walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) mesra dengan Muafakat Nasional.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim berkata ia kerana perkara berkaitan agama di Sarawak adalah di bawah bidang kuasa negeri, bukannya persekutuan.

Malah, katanya Ketua Menteri yang juga pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sejak awal lagi telah kekal dengan pendirian kerajaan negeri menolak pelaksanaan undang-undang hudud.

“Undang-undang hudud tidak akan diluluskan di Sarawak. Saya secara peribadi percaya GPS tidak akan pernah membenarkan agar ia dilaksanakan kerana sudah ada undang-undang Islam yang komprehensif dan diterima baik oleh penganut Islam di Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa undang-undang hudud akan terpakai di Sarawak, ekoran sokongan GPS terhadap Muafakat Nasional yang terdiri daripada Umno, Pas dan Bersatu.

Ahmad yang juga Exco Saberkas Sarawak menyifatkan dakwaan sedemikian sangat tidak wajar kerana ia boleh memecah belahkan masyarakat di Sarawak yang berbilang kaum dan agama.

Beliau menambah isu sedemikian juga tidak seharusnya bangkit kerana sudah dijelaskan bahawa GPS adalah bukan menyertai tetapi hanya mesra kepada Muafakat Nasional.

“Kita rakyat Sarawak sudah hidup dengan gembira selama ini tetapi malangnya ada sesetengah pihak yang cuba memecah belahkan kita dengan undang-undang hudud, yang saya pasti tidak akan memasuki Sarawak.

“Malah saya dari kaum Melanau/ Melayu dan berketurunan Iban juga mahu terus mempunyai ahli keluarga daripada latar belakang kaum yang berbeza,” katanya.

Ahmad merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) turut yakin GPS akan terus memujuk Putrajaya untuk mengiktiraf dan mengembalikan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah terhakis, demi manfaat kepada rakyat Bumi Kenyalang.

Beliau juga berharap agar kerajaan Perikatan Nasional akan lebih berkebolehan, fokus serta mengukuhkan ekonomi negara.

“Kita tidak mahu lagi kerajaan yang berantakan seperti di bawah Pakatan Harapan (PH), yang menjanjikan bulan dan bintang tetapi kita mahukan kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat,” katanya.

Suara Sarawak