ARTIKEL

Hujan guris hati si tukang cuci

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Apakah perkara yang mahu dielak si tukang cuci kereta?

Sudah tentu hujan kerana setiap kali tengkujuh tiba hujung tahun, ia akan menjejaskan pendapatan perkhidmatan mencuci kereta.

Ya, hujan itu rahmat dan sebagai manusia, ia di luar kawalan manusia.

Mohd Mazlan Sahpri, 32, menjelaskan, dia sudah terlibat dalam khidmat cuci kereta sejak 14 tahun, justeru, musim tengkujuh atau hujan lebat perkara biasa yang tidak dapat dielak.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam khidmat cuci kereta, katanya, selepas tamat persekolahan, dia membuat keputusan membuka sebuah kedai mencuci kereta sehingga sekarang sebagai punca pendapatan bagi menyara keluarga.

Mohd Mazlan Sahpri

“Oleh itu, pelbagai persiapan awal dilakukan untuk berdepan dengan musim hujung atau awal tahun demi memastikan pendapatan harian tidak terjejas,” katanya apabila ditemu wartawan Suara Sarawak, semalam.

Pemilik Sapphire Car Wash itu turut memberitahu, pelanggan tetap datang untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan walaupun hari hujan.

Katanya, jika dibandingkan dengan cuaca panas, sudah tentu jauh perbezaan dari segi bilangan pelanggan datang.

Katanya, boleh dikatakan, cuaca memainkan peranan yang sangat penting dalam industri perkhidmatan ini.

Mazlan merupakan anak keenam dalam 11 adik-beradik itu turut menyatakan, dia sudah biasa dengan keadaan ini dan beranggapan bahawa setiap perniagaan yang diusahakan pasti ada naik turunnya.

“Jumlah pelanggan pasti akan berkurangan di kedai ini, dalam lingkungan 37 hingga 40 kereta ketika musim hujan seperti sekarang kerana mungkin tidak berbaloi untuk membersihkan kereta dalam keadaan sekarang.

“Kalau musim panas, kami menerima bilangan pelanggan yang agak ramai sekitar 70 kereta untuk dicuci,” ujarnya.

Tambah Mazlan, dirinya akur dengan naik turun yang dialami dalam perniagaan tersebut dan percaya dengan rezeki yang diberikan oleh tuhan.

Pengalamannya selama 14 tahun dalam bidang tersebut banyak mengajarnya untuk bertahan dalam dunia perniagaan, katanya.

Mazlan tidak bergantung kepada perkhidmatan di tapak bekerja itu sahaja, malah berusaha untuk mencari cara lain mendapatkan pendapatan bagi menampung gaji pekerja dan sebagainya.

Jelasnya, mereka turut mengambil kerja rumah ke rumah sekiranya dipanggil oleh pelanggan untuk membersihkan kenderaan secara keseluruhan apabila berlakunya banjir.

“Saya bersama-sama pekerja sentiasa berusaha untuk memberikan terbaik dalam melakukan kerja untuk memastikan orang berpuas hati dengan hasil kerja yang diberikan kerana kepercayaan tersebut pasti akan menyebabkan pelanggan datang lagi kelak.

“Pada masa sama, usaha yang dilakukan bukan setakat untuk meraih untung tetapi juga memastikan gaji pekerja dibayar kerana tidak mahu mensia-siakan usaha keras mereka bekerja dengan saya,” katanya.

Beliau juga berharap, agar musim hujan dapat berlalu agar orang ramai boleh datang seperti biasa.

Kata Mazlan lagi, dia tidak akan menyerah dengan segala rintangan yang perlu diharungi, malah akan menjadi lebih tekun untuk memastikan impian membuka sebuah kedai cuci kereta mewah dapat dicapai.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU