Hujan lebat tanpa henti, tiga buah kampung dilanda banjir

BINTULU: Tiga buah kampung di sini terjejas dilanda banjir akibat hujan lebat tanpa henti, bermula jam 12 tengahari tadi.

Kampung tersebut ialah Kampung Asyakirin, Kampung Kemunting and Sungai Sebatang.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, hujan lebat yang berlaku telah menyebabkan beberapa tempat dinaiki air dari sistem peparitan yang tidak teratur.

Bagaimana pun, jelasnya, keadaan di lokasi masih terkawal dan tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat petang tadi.

Selain itu, tambahnya, dalam satu kejadian di Kampung Sungai Sebatang, Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyelamatkan seorang ibu bersama bayinya yang masih berusia sebulan.

“Namun, mangsa dan bayinya telah dibawa ke rumah saudara-mara terdekat.

“Penduduk dinasihati agar sentiasa berwaspada dan sekiranya berlaku banjir sila menghubungi pihak berkuasa,” ujar beliau dalam satu kenyataannya, hari ini.

Ujarnya lagi, sepanjang pemantauan di semua kawasan di sini menunjukkan keadaan beransur pulih dan tiada pusat pemindahan dibuka atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, beberapa kawasan lain di Bintulu turut dilaporkan mengalami banjir.

Kejadian banjir berlaku berikutan hujan lebat tanpa sejak pagi tadi hingga beberapa jalan raya di sini ditenggelami air.

Antara yang terjejas ialah Jalan Tun Datuk Patinggi Haji ahmad Zaidi dan Pusat Komersial Medan Jaya di Jalan Tun Hussein Onn.

Suara Sarawak