KUCHING: Beberapa bahagian di Sarawak dijangka mengalami hujan lebat berterusan peringkat buruk dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh enam jam sehingga esok, 25 Januari.
Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, amaran hujan peringkat jingga itu melibatkan Bahagian Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei (Sarikei dan Meradong), Mukah dan Bintulu.
“Sementara amaran hujan berterusan (waspada) peringkat kuning dijangka berlaku di Sri Aman, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu, Bintulu (Tatau dan Sebauh) dan Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) untuk tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya berdasarkan analisis model-model cuaca, luruan monsun yang berlaku di rantau negara dijangka sehingga 30 Januari 2023.
“Keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan di timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam tempoh tersebut.
“Ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang juga dijangka berlaku di pedalaman dan barat Semenanjung, tengah Sarawak serta pedalaman Sabah pada sebelah petang dan malam sepanjang tempoh tersebut,” jelasnya.
Beliau turut memberi amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 29 Januari ini.