HUS bakal miliki pusat penjagaan kanak-kanak tahun depan

KOTA SAMARAHAN: Hospital Umum Sarawak (HUS) bakal mempunyai pusat penjagaan kanak-kanak dan tempat letak kereta bertingkat pada tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata, Kerajaan Persekutuan meluluskan hampir RM300 juta untuk pembangunan kesihatan di Sarawak menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan awal bulan lalu.

“Banyak yang kita lakukan untuk kemudahan kesihatan di Sarawak yang dilaksanakan dalam rancangan boleh pinda.

“Salah satunya kita akan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak dan tempat letak kereta bertingkat di Hospital Umum Sarawak (HUS) selain membaik pulih beberapa buah klinik di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Jantung Sarawak di sini hari ini.

Menurutnya lagi, kerja-kerja pembinaan makmal bank darah bersepadu yang beroperasi pada Mac tahun depan sedang dilaksanakan.

Turut dibekalkan kepada HUS ialah mesin CT scan dan spect yang sedia untuk digunakan bagi mengendalikan penyakit kronik.

Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Sim Kui Hian dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing.