Hutan Sarawak diancam serangga perosak

BINTULU: Perladangan hutan sedang menghadapi peningkatan ancaman daripada serangga perosak dan penyakit, kata Timbalan Pengarah Hutan Sarawak, Jack Liam.

Menurutnya, penyakit cerato-cystis wilt dan canker disease contohnya telah menjejaskan keuntungan ladang spesies pokok Akasia di Asia Tenggara, termasuk Akasia auricliformis, Akasia crassicarpa dan terutamanya Akasia mangium.

“Pada masa ini, Akasia mangium spesies utama yang banyak ditanam di Sarawak iaitu kira-kira 63 peratus atau 264,726 hektar tanah dan masih menjadi pilihan

utama ditanam setakat ini,” katanya ketika merasmikan Kursus Risiko dan Ancaman Penyakit Terhadap Perladangan Hutan di Sarawak, semalam.

Jack menjelaskan, dalam konteks penyelidikan dan pembangunan, kekurangan teknikal atau ilmu pengurusan serta maklumat kajian yang termasuk kawalan serangga perosak dan penyakit dalam tanaman pokok, adalah salah satu isu oleh pemegang Lesan Ladang Hutan (LPF).

“Masalah yang berlaku ini menjejaskan prestasi keseluruhan hutan tanam semula dalam mencapai satu juta hektar seperti yang disasarkan sebelum 2020.

“Pengurusan dan kawalan yang berkesan terhadap sebarang penyakit bergantung kepada diagnosis segera dan tepat serta identifikasi serangga perosak dan patogen,” tegasnya.

Jack menambah, keupayaan untuk mengenali penyakit dan patogen dengan cepat serta tepat adalah terhad bukan sahaja oleh kerana kekurangan kakitangan, malah, kakitangan yang khususnya dalam patologi hutan tidak mencukupi.

“Dalam kes ini, JHS dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) bergabung, kita hanya ada dua ahli patologi hutan dan satu ahli entomologi… ini tidak cukup untuk menangani masalah

serangga perosak dan penyakit yang semakin meningkat.

“Kami menyedari pengawas lapangan untuk setiap pemegang LPF di sini pada dasarnya adalah yang pertama untuk mengamati gejala-gejala perosak dan penyakit di atas pokok tetapi, ini hanya mungkin dilakukan dengan penyelia terlatih yang cukup pengetahuan tentang perosak dan penyakit yang ada di sesuatu tempat,” ujarnya.

Sejajar itu, kata Jack, kerjasama antara pemain industri dan saintis daripada institusi penyelidikan sangat diperlukan pada masa depan untuk memperhebat penyelidikan dan pembangunan dalam bidang kepentingan bersama untuk merangsang pertumbuhan ladang hutan di Sarawak.

“Jabatan sedia untuk menjalinkan hubungan rapat dengan FRIM dan pemegang LPF masing-masing melalui projek penyelidikan dan pembangunan

bersama, latihan, bengkel dan apa jua bidang yang perlu dalam memperkukuhkan lagi pengetahuan dan pembinaan keupayaan kami untuk memperbaiki ladang hutan kami,” jelasnya.

Terdahulu, kursus tersebut dihadiri seramai 50 peserta dianjurkan JHS bersama dengan SFC, Persatuan Kayu Sarawak (STA) dan Perbadanan Pembangunan Industri Perkayuan Sarawak (STIDC).

Suara Sarawak