Hutang Sarawak bukan untuk negeri lain

KAPIT: Kita bayar pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan tetapi mereka pula perlu memperbaiki sekolah daif di Sarawak, kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Bagaimanapun jelas Ketua Menteri, Sarawak tidak mahu duit yang bakal dibayar itu akan disalur ke negeri-negeri lain.

“Sebab kita tidak mahu duit kita bayar diberi kepada orang lain,” katanya pada Majlis Pelancaran GPS Zon 11A di Rumah Robert Ngumbang, Nanga Sebatu, Batang Rajang dekat sini semalam.

Kata Abang Johari, Sarawak akan membayar hutangnya menerusi pinjaman kontra tetapi Kerajaan Persekutuan harus memperbaiki sekolah daif menerusi wang tersebut.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Presiden PRS Tan Sri James Masing, Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian dan Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing.

Pelancaran Zon 11A ini melibatkan Kawasan Dun Pelagus, Bukit Goram, Baleh dan Katibas.

Abang Johari juga Presiden PBB berkata, beliau mahu Kerajaan Persekutuan berlaku adil dengan Sarawak apabila pinjaman kontra itu dibayar.

“Soal sekolah, saya ketepikan politik…ketepi agenda parti kerana ini melibatkan masa depan anak-anak kita supaya dapat belajar dengan selesa.

“Tanggungjawab ini adalah di bawah Kerajaan Persekutuan,” ujarnya pada di hadapan 6,000 penyokong GPS yang hadir pada majlis tersebut.

Beliau memberitahu, sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Sarawak untuk membayar hutang tetapi mereka perlu menggunakan wang dibayar itu untuk memperbaiki sekolah daif di Sarawak kerana ia adalah tanggungjawab mereka.

“Jangan salurkan wang hasil bayaran tersebut ke negeri-negeri seperti Pahang, Melaka, Kelantan atau negeri lain kerana wang itu kami bayar sudah semestinya ia harus digunakan untuk Sarawak,” katanya lagi.

Abang Johari menyifatkan isu sekolah daif di negeri ini sangat serius sehingga melibatkan kuarters guru termasuk persekitaran tidak kondusif.

Sementara itu, bercakap mengenai perkara lain Abang Johari turut mengulangi pendiriannya untuk tidak berkompromi mengenai cukai lima peratus untuk gas dan minyak.

“Kita mahu negeri ini mempunyai pendapatan tambahan RM3 bilion dalam simpanannya,” katanya.

Pada majlis tersebut, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk membina sebuah pasar basah baharu di Kapit manakala di Song juga RM4 juta untuk pembinaan pasar basah baharu.

Abang Johari turut meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk memperbaiki jalan ladang menghubungkan kawasan Ngemah dan Song.

Suara Sarawak