KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi pasukan khas ‘Immune Belt Enforcement Team’ (IBET) merancang untuk melaksanakan program vaksinasi di sesebuah penempatan sebanyak empat kali setahun.
Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Datuk Dr Chai Khin Chung berkata, pihaknya akan mengunjungi sebanyak 978 penempatan di pedalaman dan luar bandar negeri ini untuk tujuan tersebut.
“UKPN melalui 32 pasukan khas di bawah IBET merancang untuk mengunjungi setiap penempatan yang dikenal pasti sekurang-kurangnya empat kali setahun untuk memberikan vaksinasi kepada anjing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perasmian Persidangan Rabies di Borneo (RIB) 2022 yang disempurnakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi di sini, hari ini.
Pasukan IBET yang disertai barisan bekas tentera dan polis itu ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak pada Isnin lalu, bagi membantu mengesan anjing liar yang dikhuatiri dijangkiti virus rabies atau penyakit anjing gila terutamanya di kawasan sempadan yang lebih 1,000 kilometer.
Pasukan itu diyakini dapat melindungi rakyat Sarawak daripada ancaman rabies yang dibawa anjing liar dari negara jiran sekali gus menjadi penyelesaian jangka panjang.