Ibu bapa boleh didakwa kerana cuai

SATU ketika dahulu, amalan mempunyai anak ramai dalam sesebuah keluarga satu kemestian kerana mempunyai anak ramai memudahkan kehidupan ibu bapa apabila mereka sudah menginjak usia emas.
Namun kini, keadaan itu semakin berubah oleh kerana kos perbelanjaan anak ramai agak tinggi dan pasangan kini mempunyai komitmen kepada pekerjaan masing-masing.
Mempunyai anak ramai akan menyukarkan kehidupan tambahan tidak dapat menjaga anak sekiranya terlalu sibuk dengan pekerjaan.
Keadaan ini turut menyebabkan berkahwin lewat usia berlaku. Ia lebih baik daripada melahirkan ramai anak tetapi tidak mampu menjaga atau lalai tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Tahun berganti, dengan adanya teknologi dan pelbagai pembaharuan dalam dunia digital menyebabkan institusi keibubapaan semakin maju dan mahir menggunakan kemudahan itu.
Ini menjadi cabaran baharu kepada ibu bapa kerana mereka bukan hanya berhadapan ragam anak yang nakal dan mencuit hati, tetapi mungkin lebih pakar daripada sehinggakan ingin mencuba sesuatu di luar kawalan ibu bapa.
Baru-baru ini, tular di media sosial berkaitan dengan kes kanak-kanak keluar dari kawasan rumah atau kediaman tanpa pengetahuan ibu bapa.
Malah terdapat satu video yang tular di Facebook sebelum itu apabila ada kanak-kanak berusia lima tahun bermain basikal di jalan raya seorang diri pada jam 3 pagi.
Pada mulanya, pemuda menemui kanak-kanak itu berasa takut kerana beranggapan mustahil bagi kanak-kanak seusia itu bermain pada waktu demikian malah tanpa pemerhatian ibu bapa.
Ini bukanlah satu perkara baharu kerana di Samarahan dan Kuching baru-ini juga turut berlaku kanak-kanak tanpa penjaga dilihat merayau di jalan raya.
Seorang bapa menyedari anak lelakinya tiada di rumah apabila mendapati anaknya tular di Facebook berkeliaran tanpa penjaga di Taman Sentoria, Bukit Stigang, Kota Samarahan pada Ahad lalu.
Kanak-kanak berusia empat tahun ditemui anggota Unit Peronda Polis (MPV) dan dibawa ke Balai Polis Kota Samarahan sekitar 10 pagi. Ketika kejadian, bapa kanak-kanak itu sedang membaiki rumah di tingkat atas sementara anaknya sedang menonton televisyen di tingkat bawah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram, apabila turun ke bawah, bapa kanak-kanak itu mendapati anaknya tiada dan beranggapan anaknya mengikuti ibu untuk membersih rumah di kawasan lain.
Katanya lagi, apabila melayari Facebook, didapati anaknya ditularkan berkeliaran tanpa penjaga di Taman Stigang Kota Samarahan sebelum menghubungi Balai Polis Kota Samarahan dan memberitahu kanak-kanak lelaki tersebut adalah anaknya.
Sementara itu, kes kedua kanak-kanak perempuan ditemui berseorangan oleh orang awam di kawasan Satok. Kanak-kanak berusia dua tahun dijumpai di depan SJK Chung Hua No 4 dihantar ke Balai Polis Satok sebelum diambil oleh bapanya.
Sudah pasti mengundang rasa resah dengan keadaan penularan wabak Covid-19, bahaya kepada perkara yang tidak diingini seperti penculikan, rogol, kemalangan dan sebagainya.
Tahukah anda jika berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas kanak-kanak tersebut akibat kecuaian dan pengabaian, ibu bapa boleh didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Justeru, ibu bapa perlu lebih berhati-hati ketika melakukan pekerjaan lain di kediaman tanpa mengabaikan keadaan anak mereka. Zaman sekarang berbeza kerana kanak-kanak pintar dan punyai menerokai keadaan di luar walau tanpa ibu bapa mereka.  Kanak-kanak seusia mereka tidak tahu maksud bahaya.
Maka, ibu bapa perlu menerangkan kepada anak maksud bahaya dan keadaan yang tidak boleh dilakukan oleh mereka. Ini bukan hanya mendidik mereka agar bersikap sopan dan menghormati ibu bapa tetapi dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku sama ada kepada ibu bapa, keluarga, anak-anak itu sendiri atau masyarakat luar dan negara.
Jangan seperti pepatah, sudah terhantuk baru tergadah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.