Ibu bapa perlu bantu pembelajaran anak

SEKOLAH dijangka akan ditutup lebih lama lagi berdasarkan jumlah kes positif baharu Covid-19 yang dicatatkan semakin bertambah di seluruh negara.
Walaupun Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengarahkan pihak sekolah untuk mengadakan sesi pembelajaran dalam talian atau dikenali sebagai Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), namun ia belum memadai.
Peranan dan kerjasama ibu bapa masih lagi diperlukan supaya anak-anak mereka mendapat didikan yang bukan hanya melibatkan ilmu pengetahuan, namun lebih kepada aspek menanam minat anak untuk belajar selain mendidik dan meransang minda anak agar lebih kreatif dan inovatif.
Oleh itu, ibu bapa harus mempersiapkan diri daripada semua aspek terutamanya mental dan fizikal dengan tahap kesabaran yang tinggi. Pertama, kita sebagai ibu bapa jangan mengharapkan guru semata-mata untuk mengajar anak kita, guru pun ada anak sendiri yang hendak diuruskan.
Kita juga kena ingat, tujuan kita menghantar anak sekolah bukan untuk membuat latihan atau kerja sekolah sahaja, tetapi kita mahu mereka mempelajari sesuatu yang baharu, menimba seberapa banyak ilmu.
Untuk memastikan anak dapat mempelajari sesuatu sepanjang berada di rumah, anak harus digalakkan untuk membuat ulang kaji dan kerja rumah sendiri supaya ibu bapa dapat melibat perkembangan anak mereka.
Jika ibu bapa sedar akan kelemahan anak mereka dalam mata pelajaran, mereka perlu peka dan berbuat sesuatu dengan kadar segera.
Hal ini kerana tiada siapa yang boleh membantu anak mereka buat masa ini melainkan ibu bapa mereka sendiri. Anak yang lemah dalam mata pelajar ini sebenarnya bukan sesuatu yang memalukan sehingga menimbulkan rasa marah dan malu kepada ibu bapa termasuk anak itu sendiri.
Namun percayalah, anak ini sebenarnya perlukan bimbingan dan sokongan serta keprihatian; sifat penyayang dan ambil berat ibu bapa mereka.
Sebagai contoh, setiap ibu bapa mengharapkan anak yang berumur tujun tahun sudah pandai membaca, mahir asas matematik; tambah, tolak, darab dan bahagi. Jika anak masih lemah dalam pekara asas; membaca, menulis, mengira (3M), anda perlu berbuat sesuatu segera, jangan sesekali diabaikan kerana anak yang normal sifatnya dapat mempelajari pekara asas ini dengan mudah.
Tambahan pula, tidak mungkin PdPR ini boleh memberi kesan besar pada tahap akademik anak sekarang. Jangan berharap sangat! Oleh itu, ibu bapa diharap dapat berusaha sendiri mencari bahan belajar tambahan untuk anak seperti buku latihan, video pembelajaran dan kelas dalam talian berbayar jika ada keperluan.
Walaupun anak masih di sekolah tadika, kita sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, jangan sambil lewa, acuh tak acuh terhadap pembelajaran mereka.
Sekolah memang boleh ditangguhkan lagi namun perkembangan akan tetap sama iaitu 90 peratus otak atau minda anak akan terbentuk dari umur 1 hingga 6 tahun. Jika sepanjang tempoh ini tidak diisi dengan ilmu, sangatlah rugi, setahun berlalu tanpa penambahan sel otak baru, tiada proses sel otak berhubung.
Yang pasti, nasib anak kita sebenarnya berada di tangan kita sendiri. Secara dasar, sesi persekolahan memang ditutup bagi membendung pandemik, namun sesi pembelajaran sebenar berlaku di rumah tidak akan pernah tutup.