ARTIKEL

Nancy (dua kiri) bercakap kepada penduduk kampung yang secara sukarela memberi bantuan kepada operasi SAR. - Foto: Mohd Alif Noni

Ibu jerit minta tolong tiga kali sebelum hilang – Jini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SUARA jeritan dan laungan meminta tolong ‘indai’ (ibu) sebanyak tiga kali merupakan perkara terakhir yang saya dengar sebelum dia hilang tanpa jejak,” cerita Jini Mijar mengimbas kembali tragedi ngeri yang berlaku sekitar jam 1 tengah hari pada Rabu lalu.
 
Menurut wanita berusia 50 tahun itu, ketika kejadian dia bersama ibunya sedang leka mencari lokan dan siput sekitar jam 1 tengah hari sebelum ibunya, Minu Khein, 79, tiba-tiba hilang dipercayai disambar buaya di kawasan tebingan Sungai Rayu, Jalan Selang di Lundu.
 
“Indai, indai, indai… hanya itu yang mampu saya laungkan sebaik mendengar jeritan meminta tolongnya. Sedangkan sosok dan kelibat ibu langsung tidak kelihatan selepas dia melaung meminta pertolongan itu. Dia juga tidak membalas panggilan saya.
 
“Namun saya terus gigih mencari ibu di sekitar lokasi kejadian yang dipenuhi pokok nipah. Agak lama, sekitar 30 minit saya berpusing-pusing mencarinya sehingga saya terjatuh, tersandung dan badan penuh berlumpur.
 
“Malah saya tersesat sehingga keluar di kawasan yang saya tidak ketahui dan seterusnya meminta bantuan seorang pemuda untuk menghantar saya pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, semalam.
 
Mengimbas kembali kejadian hari itu, Jini yang merupakan anak sulung mangsa memberitahu dia menemani ibunya yang berhasrat untuk mencari lokan di kawasan berkenaan bermula sekitar jam 8 pagi.
 
“Ibu mengajak saya untuk mencari lokan dan saya pun turuti hajatnya itu. Kami dihantar oleh anak saya yang bernama Albert ke kawasan berkenaan.
 
“Sejurus tiba, kami pun terus masuk ke kawasan kampung tersebut dan berjalan-jalan di tebingan sungai mencari siput dan lokan. Ketika itu air masih surut dan jarak saya dengan ibu hanya sekitar 10 meter.
 
“Bagaimanapun ketika leka mencari, air mula pasang dan saya berada pada bahagian atas tebing bukit, manakala ibu berada di bahagian bawah berhampiran sungai.
 
“Ketika itulah saya mendengar jeritan ibu dengan suara yang nyaring meminta tolong sebanyak tiga kali,” katanya sambil mengesat air mata.
 
Bagaimanapun ujarnya, kawasan yang dipenuhi pokok nipah tersebut terlalu luas menyebabkannya hilang arah dan hampir pengsan kerana terlalu terkejut dengan kejadian tidak disangka tersebut.
 
“Puas memanggil menjerit mencari ibu tetapi tiada sebarang balasan. Saya juga hampir pitam kerana tidak dapat mencari jalan keluar.
 
“Namun mungkin Tuhan menolong, saya berjaya keluar dari hutan itu dan ketika itu muncul seorang pemuda Melayu yang baik hati sanggup menghantar saya pulang walaupun dalam keadaan kotor serta berlumpur,” jelasnya.
 
Jini juga memberitahu dia hampir pitam sebaik mendengar pasukan awal pencarian menjumpai kesan darah serta tapak kaki mangsa berhampiran lokasi serangan.

Nancy (kiri) berinteraksi dengan seorang anggota keluarga mangsa. – Foto: Mohd Alif Noni

Terdahulu dalam kejadian pada Rabu lalu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 1.55 tengah hari.
 
Sejurus selepas itu, Unit K9 Bomba turut dikerahkan untuk membantu pencarian wanita warga emas yang hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika mencari lokan di Sungai Rayu, di sini.
 
Setakat jam 5 petang semalam, mangsa masih belum ditemui dalam operasi yang melibatkan pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Perbadanan Perhutanan Sarawak, Rela, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah Lundu dan penduduk kampung.
 
Semalam pencarian tersebut turut disertai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau tiba di jeti Kampung Sungai Rayu pada jam 9.30 pagi dan diberi taklimat berhubung SAR itu oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, Latiff Iring.
 
Selepas taklimat itu, beliau menaiki bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyusuri sungai berkenaan untuk melihat sendiri operasi pencarian mangsa yang dikhuatiri disambar buaya ketika keluar mencari lokan.
 
Nancy ketika ditemui berkata, beliau yakin mangsa amat arif dengan keadaan sungai berkenaan kerana sudah lama mencari lokan. 

Bagaimanapun katanya, mungkin pada hari kejadian mangsa bertembung dengan buaya yang dikenal pasti banyak menghuni sungai itu.
 
Justeru beliau mengingatkan penduduk untuk lebih berhati-hati ketika mencari rezeki di sungai berkenaan bagi mengelak konflik dengan reptilia ganas itu.

Anggota keluarga sabar menantikan perkembangan operasi SAR di tebing Sungai Rayu. – Foto: Mohd Alif Noni

BERITA LAIN

Projek pembangunan giat dijalankan di sekitar Debak

SARIBAS: Beberapa pembangunan di kawasan sekitar Daerah Kecil Debak telah dipergiat bagi memastikan kawasan tersebut terus menikmati kemajuan. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti

BERITA TERBARU

Penyulut SPM meri pengaga ngagai semua

KUCHING: Bulih pemutus peresa nyulut ba Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ukai penyulut siku orang aja tang nya penyulut semua raban. Nembiak Sekula Sekondari (SMK)