Ibu masih menunggumu

KABONG: Tanggal 23 Disember, genap dua tahun anak istimewa Nur Syuhadah Fatihah Imam tidak pulang ke rumah. Kehilangannya pada 23 Disember 2018 menggemparkan penduduk di sekitar sini dan sehingga kini masih menjadi tanda tanya.

Kepulangannya sentiasa dinantikan walaupun ahli keluarga reda mungkin si bongsu pasangan Rosina Jaini, 55 dan Imam Kapi, 56, sudah tiada.

Kakaknya Nazirah Imam, 34, yang dihubungi Suara Sarawak berkongsi cerita selepas dua tahun kehilangan anak kecil yang selesa dipanggil Siyak. Katanya, ahli keluarga masih tidak berhenti berharap.

“Dua tahun Fatihah meninggalkan kami tanpa khabar berita. “Sejujurnya saya dan keluarga masih mengharapkan dia pulang, setiap hari kami mengingatinya. Bagaimanapun, kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya di sini baru-baru ini.

POTRET TERAKHIR… Foto Fatihah pada majlis penyampaian hadiah dua tahun lepas yang menjadi kenangan keluarganya.

Apa yang lebih memilukan ujarnya, jika Fatihah masih ada, anak syurga itu bakal menginjakkan kaki ke sekolah menengah tahun hadapan untuk berada di Tingkatan Satu.

Menambah lanjut, setiap 23 Disember keluarganya akan mengadakan majlis bacaan Yassin dan tahlil serta kenduri buat Fatihah. Ditanya perkara yang tidak dapat dilupakan, Nazirah menjelaskan tiga hari sebelum hilang, Fatihah ada meninggalkan pesanan suara kepadanya.

“Dia tanya, bila saya akan balik ke Kabong… dia suruh saya balik. “Sebelum raya dua tahun lepas pun ada juga. Saya simpan pesanan suara sebagai pengubat rindu kami sekeluarga kepada Fatihah,” jelasnya.

Beliau mengakui, si ibu dan ayah kini semakin dapat menerima hakikat mengenai ketiadaan Fatihah. Fatihah merupakan anak bongsu daripada enam adikberadik.

Seperti mana yang pernah diceritakan kepada Suara Sarawak sebelum ini, semasa hari kejadian Fatihah dilaporkan hilang, Rosina menyedari beberapa kelainan terhadap dirinya termasuk anak emasnya itu.

“Benar, naluri seorang ibu tidak pernah silap. “Hari tersebut saya begitu berat hendak melepaskan Fatihah keluar untuk bermain. “Saya tidak mahu dia keluar rumah… dan saya hairan rasa itu terlalu kuat.

“Fatihah pula pada hari tersebut memberontak untuk keluar. Dia hendak mengikut bapanya. Namun saya tahan untuk tidak memberi keizinan dan saya menghiburkannya dengan bermain congkak di rumah. Dia peluk cium saya beberapa kali.

“Sebelum dia disedari keluar pada petang itu, Fatihah mandi namun enggan menggunakan baju yang dipilih oleh si kakak seperti selalu. “Dia berkeras untuk mengenakan baju pilihannya sendiri.

Pada hari tersebut juga, dia makan terlalu banyak nasi goreng. “Jadi selepas dia berjaya keluar dari rumah sekitar 3 petang, dia nampak begitu teruja.

“Setelah beberapa ketika, bapanya turun untuk mencari Fatihah dan pada mulanya ada. “Namun selepas kali kedua melihat kelibat, bapanya hanya menjumpai selipar, pancing dan air yang dipercayai milik Fatihah di atas jeti berhampiran sungai.

“Lebih pelik, sebelum ini dia tidak pernah bermain di air… tetapi mengapa hari itu? “Hati ibu mana yang tidak meraung dan menangis. Pergi tanpa pesan namun saya percaya semuanya aturan Allah SWT.

Saya dan keluarga reda namun jauh di sudut hati, kepulangan Fatihah masih didambakan. “Kalau tidak bernyawa sekalipun, tunjukkan jasadnya,” kata sang ibu penuh harapan.