Trending

ICQS Tebedu, Ba’Kelalan – Long Midang keutamaan dinaik taraf

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Awang Tengah melakukan simbolik perasmian Pesta Simunjan 2023 & Simunjan Kitchen, hari ini

SIMUNJAN: Beberapa pintu masuk di sempadan Sarawak-Indonesia diletakkan sebagai keutamaan untuk dinaik taraf serta dipertingkatkan kemudahan.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata antaranya Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu-Entikong dan Ba’Kelalan – Long Midang.

“Ini diharap akan dilaksanakan, pertamanya memang dari segi aspek keselamatan dan keduanya ialah kita mahu mempertingkatkan dari segi pembangunan di kawasan sempadan.

“Ketiganya kita mahu melicinkan lagi dari segi perdagangan rentas sempadan di antara Malaysia dan Indonesia,” katanya ketika ditemu-bual selepas merasmikan Pesta Simunjan 2023 & Simunjan Kitchen, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya yang mengumumkan peruntukan tambahan bernilai lebih RM1 bilion untuk membangunkan infrastruktur di sempadan Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia.

Selain itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata Sarawak turut berhasrat membina jalan untuk keselamatan sempadan.

“Beberapa tempat sudah ada dalam perancangan kita dan sebahagian daripadanya sudah kita laksanakan…diharap ini akan dapat diteruskan,” katanya.

Justeru, beliau merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berharap agar peruntukan lebih tinggi terus diberikan kepada Sarawak untuk meningkatkan ICQS.

“Banyak tempat di Sarawak tapi kita terpaksa menyenaraikan beberapa keutamaan dan diharapkan pada masa depan, peruntukan yang lebih tinggi akan dapat diberi lagi untuk kita mengemas kini dan membina ICQS,” katanya.

Sementara mengenai Pesta Simunjan 2023, Awang Tengah berkata ia diyakini mengangkat identiti Daerah Simunjan untuk kekal relevan di mata masyarakat, selain menggalakkan penduduk tempatan melibatkan diri secara aktif dalam memacu pertumbuhan kawasan berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan Simunjan Kitchen adalah penting untuk mengangkat usahawan-usahawan tempatan khasnya di Daerah Simunjan, selaras dengan fungsi teras kementeriannya iaitu membangun kapasiti dan keupayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan.

“Saya percaya peluang serta platform yang diberikan melalui Pesta Simunjan selama lapan hari ini dapat menjana pulangan ekonomi dan pulangan pelaburan yang positif, bukan sahaja kepada para usahawan malah kepada penduduk-penduduk setempat di Simunjan seperti pengusaha homestay, peniaga-peniaga kecil, penyedia perkhidmatan dan lain-lain,” katanya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru